CABARAN sebagai seorang guru dalam mendidik pelajar amatlah besar lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan mereka yang mempunyai 1,001 kerenah.
Ia bukanlah satu tugas mudah kerana melibatkan emosi dan tahap kesabaran yang tinggi. Tekanan itu lagi bertambah apabila ada segelintir ibu bapa atau penjaga yang 'cerewet' tentang pelajaran serta bagaimana anak diajar.
Bagi mengelakkan berlakunya konflik dalam kalangan pelajar itu sendiri, ada segelintir dalam kalangan pendidik mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meletakkan anggotanya di setiap sekolah.
BACA LAGI : Pindaan RUU bukan lagi bersifat menghukum tetapi merawat penagihan dadah
BACA LAGI : [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’
Seorang pengguna media sosial, Maimun Semion berkata, cadangan melibatkan peletakan anggota polis di sekolah adalah perlu bagi memastikan keselamatan dan disiplin murid lebih terjamin.
Katanya, langkah itu dirasakan lebih berkesan kerana polis mempunyai kefahaman khusus dan latihan dalam menangani isu-isu seperti vandalisme, jenayah, penyalahgunaan dadah, dan ancaman keselamatan lain.
"Semua isu ini wujud di sekolah, walau tidak serius tapi membendung dari peringkat adalah lebih baik berbanding bila mereka keluar dari alam persekolahan membawa sikap negatif yang akan menjadi beban kepada negara, nusa dan bangsa.
"Anggota polis di sekolah bukan sahaja dapat mengawal tingkah laku murid yang bermasalah, tetapi juga memberikan rasa selamat kepada murid-murid dan guru-guru lain," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Sofia Ismail turut bersetuju dengan cadangan Maimun.
"Lebih elok sekiranya ada seorang anggota polis yang bertugas dalam sekolah untuk keselamatan guru dan juga murid.
"Kita memang ada guru disiplin tetapi dengan peraturan yang sedia ada sebenarnya agak sukar untuk mendisiplinkan pelajar yang nakal.
"Kalau 'disentuh' mesti ada yang bising. Seeloknya bagi terus polis yang selesaikan masalah pelajar nakal ini," tulisnya.
Profesion sebagai guru bukanlah satu tugas mudah kerana melibatkan emosi dan tahap kesabaran yang tinggi. — Gambar hiasan
Kedua-dua warga maya itu berkata demikian susulan daripada kes seorang guru disiplin di sebuah sekolah di Melaka yang telah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan mencederakan pelajarnya kerana bertindak biadap pada Rabu.
Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding kes di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Noor Alif Fitri Anuar, 19, dengan menampar muka beberapa kali dan menarik rambutnya dua tahun lalu.
Sementara itu, seorang warga maya Mohd Ridzuan melihat cadangan menempatkan polis di setiap sekolah bukanlah satu keperluan kerana ia melibatkan guru disiplin itu sendiri.
"Kesalahan terpencil, janganlah libatkan polis. Penat mereka nak 'jaga' semua. Dalam kes cikgu disiplin Mohd Heirman, cikgu itu tetap salah bagi aku.
"Menampar muka beberapa kali dan menarik rambut pelajar bukan cara mendidik tetapi lebih kepada melepaskan geram.
"Pelajar itu mungkin biadab tetapi perlukah tindakan seperti itu? Elok panggil ibu bapa pelajar untuk elak perkara tidak diingini berlaku," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram