Ramai mahu coach muda berbanding Dollah Salleh bimbing skuad Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Kredibiliti Dollah Salleh dalam dunia kejurulatihan sememangnya sukar untuk disangkal.

LEGASI Datuk Dollah Salleh dalam dunia bola sepak tanah air sememangnya sesuatu yang membanggakan, baik ketika dia masih bergelar pemain mahupun sebagai seorang jurulatih.

Dia yang merupakan seorang penyerang pada era 1980-an dan 1990-an pernah digeruni dengan gerakan serta kebolehannya mengelecek sering mengelirukan pihak lawan.

Kejayaan itu tidak terhenti di situ kerana selepas menamatkan kariernya sebagai seorang pemain, anak jati Melaka itu menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dollah Salleh pernah jadi hero Harimau Malaya tewaskan Korea Selatan aksi kelayakan Piala Dunia

BACA LAGI: 'Saya nak lantik coach luar negara, bukan Dollah Salleh'

450433656_981691836982456_1318916410738064542_n

Dollah Salleh diumumkan sebagai pengendali baharu pasukan Utara tanah air itu. Facebook/Persatuan Bolasepak Melayu Pulau Pinang

Sepanjang berada dalam dunia tersebut, Dollah pernah membimbing beberapa kelab tempatan seperti Selangor FA dan Pahang FA dengan kejayaan demi kejayaan berjaya dicatatkan.

Jadi, tidak hairanlah apabila pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang mengumumkan jurulatih berusia 60 tahun berkenaan sebagai pengendali baharu skuad Piala Emas Raja-Raja.

Meskipun dia kini masih merupakan pengurus Sri Pahang FC, reputasinya sukar untuk mana-mana pasukan menolak peluang mendapatkan khidmatnya.

Selain itu, sekiranya dilihat daripada konteks lebih luas, kehadiran Dollah dalam pertandingan berkenaan hanya akan menarik lebih ramai penyokong.

Bagaimanapun, perasaan tersebut kurang dikongsikan peminat setia bola sepak di Pulau Pinang kerana mereka beranggapan pelantikan jurulatih muda adalah lebih sesuai.

2422638

Akmal Rizal (kanan) dan Manzoor Azwira merupakan dua jurulatih muda di Pulau Pinang. Facebook/Penang FA

Ini kerana Piala Emas Raja-Raja ialah platform terbaik bagi pemain dan pengendali kurang dikenali untuk membuktikan keupayaan tersendiri di peringkat lebih besar.

"Alahai, apa sudah tidak ada jurulatih yang berkaliber kah dalam Pulau Pinang ni?" soal Amran Abas.

"Patutnya Piala Emas Raja-Raja dijadikan peluang 'coach' muda untuk berkembang. Untuk kes Dollah ni, kita semua tahu akan kebolehan dia," kata Azman Aris.

Berdasarkan perkembangan semasa bola sepak di Pulau Pinang, beberapa pengendali muda, seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Manzoor Azwira Abd Wahid sudah diberikan kepercayaan.

Meskipun hasil daripada perancangan itu masih belum dapat dirasai, kejayaan sedikit demi sedikit sudah dapat dirasai dengan penyokong memuji pendekatan sedemikian.

Piala Emas Raja-Raja 2024 akan menyaksikan sebanyak 16 pasukan berentap pada Oktober dengan Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran kejohanan bagi edisi ke-102. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram