'Saya nak lantik coach luar negara, bukan Dollah Salleh'


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Selepas kekalahan besar di tangan UAE, Dollah mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai pengendali utama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

LAPAN tahun lalu menjadi sejarah hitam bola sepak negara apabila mengalami kekalahan terbesar selepas dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Abu Dhabi.

Berikutan kekalahan besar ketika berdepan UAE, jurulatih skuad negara ketika itu, Datuk Dollah Salleh mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengendali utama Harimau Malaya.

Selepas kekalahan memalukan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, berdasarkan laporan media pada 8 September 2015 itu, Tengku Abdullah juga mengakui bahawa Dollah tidak pernah menjadi pilihan utama baginda sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Baginda sebaliknya lebih memilih jurulatih import untuk mengetuai Harimau Malaya dan menyalahkan jawatankuasa teknikal FAM kerana memilih bekas pemain negara itu sebagai pengendali utama.

“Dari awal, Dollah bukan pilihan saya, tetapi jawatankuasa teknikal mahukan dia... ini bukan alasan, tetapi sejak awal lagi saya nyatakan hasrat untuk mengambil jurulatih import, sebab itu saya kecewa,” Tengku Abdullah pada laporan berkenaan.

Selepas Dollah mengundurkan diri, badan induk tersebut melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara untuk mengendalikan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia ketika itu.

Al-Sultan Abdullah yang mengumumkan hasratnya untuk berhenti secara berperingkat, mencadangkan FAM melantik timbalan presidennya ketika itu, Datuk Seri Affandy Hamzah sebagai pemangku presiden.

“Ini adalah kehilangan yang sangat memalukan dan memalukan, saya tidak boleh menerimanya. Kami telah menerima peletakan jawatan Dollah.

"Saya akan tarik diri secara berperingkat kerana masih banyak dalam FAM yang perlu saya selesaikan (sebelum berundur) untuk memudahkan semua pihak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram