[VIDEO] Dollah Salleh pernah jadi hero Harimau Malaya tewaskan Korea Selatan aksi kelayakan Piala Dunia


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Sebahagian aksi ketika pasukan kebangsaan berdepan Korea Selatan. — Facebook/RetroBolaSepak

KEJOHANAN Piala Asia 2023 di Qatar akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 dengan aksi Malaysia bakal menjadi tumpuan buat para penyokong setia negara untuk melihat aksi terbaik ditampilkan.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan membuka kempen Kumpulan E dengan berdepan Jordan sebelum menentang Bahrain dan Korea Selatan.

Ketika perlawanan Piala Asia hangat diperkatakan dalam kalangan peminat tempatan, pastinya ramai yang sudah lupa bahawa pasukan kebangsaan pernah melakar sejarah pada 1985.

10 Mac 1985 merupakan tarikh keramat buat pasukan kebangsaan sekali gus menjadi kali terakhir Malaysia mencatat rekod menewaskan pasukan Korea Selatan di Stadium Merdeka hasil jaringan tunggal Dollah Salleh pada minit ke-49.

Ia merupakan momen di mana Malaysia pernah menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 1986 Mexico.

BACA LAGI: 'Kena lawan, jangan beri mereka terlalu banyak ruang'

Ketika itu, Malaysia hampir layak namun kejutan seri dengan keputusan 0-0 berdepan Nepal membolehkan Korea Selatan menjadi juara kumpulan kerana mempunyai kelebihan satu mata dan layak ke Mexico.

Meskipun seri berdepan Nepal, Malaysia berjaya membalas balik kekalahan dalam perlawanan kedua yang berlangsung di Kuala Lumpur yang menyaksikan pasukan kebangsaan membelasah Nepal dengan keputusan 5-0.

Bagaimanapun, Harimau Malaya terus dikejutkan apabila tewas di bumi Korea dengan keputusan 0-2.

Ketika itu, selepas tiba di tanah air daripada Korea Selatan, penyerang legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari telah mengumumkan bahawa ia merupakan perlawanan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dan satu hadiah paling pahit sempena persaraannya.

Dalam pada itu, menjelang aksi perlawanan Piala Asia, rakyat Malaysia akan menyaksikan pertemuan semula antara Harimau Malaya dan musuh tradisi, Korea Selatan dalam saingan Kumpulan E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram