MASALAH gaji sekali lagi menjadi topik utama berhubung Liga Malaysia selepas pelbagai laporan mengatakan majoriti daripada kelab bersaing bergelut dengan isu itu.
Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang mengalaminya tahun lalu sepertinya sekali lagi terpalit dengan kemelut berkenaan meskipun masih belum disahkan mana-mana pihak.
Tidak cukup dengan itu, Perak FC yang sudah 100 peratus berstatus swasta turut dilaporkan mengalami masalah sama seperti mana dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin.
BACA LAGI: Saya pelik Pahang ada masalah gaji — Gopi Rizqi
BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber
Pendedahan pemain Sri Pahang berhubung isu tunggakan gaji skuad Tok Gajah.
Lebih mengejutkan lagi, Sri Pahang FC yang memiliki sumber kewangan kukuh turut berdepan masalah sama dengan ada pemain mula mendedahkannya di media sosial.
Masalah itu sudah tentu membuatkan penyokong mula muak dengan kegagalan pihak pengurusan untuk membuat perancangan kewangan lebih teliti setiap musim.
Kegagalan menarik penaja kukuh serta tawaran gaji tidak masuk akal dikatakan antara punca masalah tunggakan gaji berulang sehingga orang ramai berasakan hal itu sukar diselesaikan pada masa terdekat.
Masalah itu akan sekali gus menyukarkan lagi usaha pasukan Liga Super melakukan proses pinjaman pemain kerana kelab majikan sudah tidak percaya akan keupayaan untuk menanggung kos gaji seperti mana dipersetujui.
Hidalgo dibawa masuk ke skuad Tok Gajah secara pinjaman. — Facebook/Sri Pahang FC
Lihat sahajalah musim ini apabila Sri Pahang FC yang berdepan isu kewangan membawa masuk dua bintang secara pinjaman, iaitu Manuel Hidalgo dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi dari KDA FC.
Sekiranya dilihat kepada persetujuan dalam dunia bola sepak, pembayaran gaji dalam konteks berkenaan akan dibuat secara sama rata seperti dinyatakan ketika proses rundingan.
Jadi, terdapat kemungkinan kelab Pantai Timur itu akan menanggung 50 peratus daripada gaji Hidalgo sementara baki daripadanya akan dibayar JDT.
Tetapi, sekiranya mereka sendiri berdepan masalah gaji, mampukah mereka melakukan pembayaran secara tetap, lebih-lebih lagi dengan permintaan import Argentina itu sudah tentu tinggi berdasarkan kemampuan dan usianya.
Wan Syazmin berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Kedah berikutan isu gaji skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Jika situasi sedemikian berterusan, terdapat kemungkinan skuad Tok Gajah terpaksa berputih mata dengan situasi itu apabila hanya dapat mengerah bakti daripada Hidalgo untuk separuh musim.
Bagaimanapun, bagi situasi Wan Syazmin pula, kehadiran dua pemain lain di posisi penjaga gol sudah tentu tidak akan membuatkan kehilangannya terlalu dirasai.
Persoalannya, adakah Sri Pahang yang merupakan sebuah kelab digeruni dalam Liga Super akan melepaskan pemain pinjaman mereka dengan mudah.
Selain itu, masalah yang seakan-akan tidak mempunyai titik noktah itu dikhuatiri akan menjadi asbab untuk kelab tersebut untuk terus mencari alasan untuk mengelakannya daripada memberi kesan terhadap mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram