SYARIKAT rokok elektronik ternama tempatan, nanoStix Innovations Sdn Bhd yang sebelum ini berminat untuk menjadi penaja utama Kedah Darul Aman (KDA) FC dilaporkan terkejut apabila mendakwa disiasat pihak berkuasa secara berturut-turut.
Pemiliknya, Shahabudeen Jalil dalam satu hantaran di Facebook peribadinya mendedahkan bahawa syarikatnya diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Rabu.
"Usai saja pertemuan mesra dengan pihak Kerajaan Negeri Kedah tempoh hari sebagai tanda minat kita dengan pasukan bola sepak negeri kelahiran kita, entah bagaimana seolah-olah berturutan peristiwa yang tidak diduga datang melanda.
BACA LAGI: [VIDEO] Sempat hadir kenduri kahwin sebelum satu keluarga hanyut dibawa arus sungai di India
"Bermula dengan pihak Kastam yang datang memberi 'salam' atas alasan audit cukai eksais secara rawak, diikuti pula dengan minggu seterusnya muncul pula sepasukan LHDN di pejabat.
"Berturut-turut, tak mengapa mungkin 'kebetulan'. Cuma yang tak berapa nak 'best'nya bila mereka mula bertanyakan soalan-soalan yang agak peribadi. Tapi tak mengapa, saya bersangka baik pegawai ini cuma 'menjalankan' tugas mereka dengan amanah dan berdedikasi," katanya.
Sebelum ini, Shahabudeen memberi gambaran untuk menjadi penaja utama skuad Sang Kenari selepas bertemu dua bekas pemain, YB Baddrol Bakhtiar dan YB Radhi Mat Din yang kini memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Bagaimanapun, usaha itu ditentang selepas timbulnya desakan penyokong yang tidak mahu sebuah syarikat berasaskan gaya hidup tidak sihat terpampang di jersi pasukan.
Jadi, kehadiran pihak berkuasa terhadap pejabat syarikat tersebut sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan, namun Shahabudeen menerimanya secara terbuka.
Dalam pada itu, pemilik jenama berkenaan turut mendedahkan konsultan cukai nanoStix Innovation didekati LHDN yang mahu melakukan siasatan lebih mendalam terhadap mereka.
"Diminta fail-fail kami, sekali lagi berbaik sangka mereka sedang 'menjalankan' tugas mereka dengan amanah dan berdedikasi. Apapun, kalau ada yang tanya sepanjang melayari peristiwa-peristiwa ini semua, bagaimana kami masih tenang dan berbaik sangka?.
"Sebab kerana kami tahu bahawasanya kami belum pernah lewat bayar cukai eksais mahupun cukai pendapatan sebanyak jutaan RM sebulan setiap bulan sejak tiga tahun yang lepas.
"Paling penting kami berdoa dan betul-betul berharap agar rentetan peristiwa ini hanyalah sebuah 'kebetulan'," dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram