KEKALAHAN dalam dua aksi Liga Super dan Piala FA pada musim ini nyata menggusarkan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz yang mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi yang tidak memberangsangkan buat skuad Jang, lapor MFL.
Azzmi mengakui kekalahan di tangan Selangor FC dalam saingan Piala FA minggu lalu sukar untuk diterima lebih-lebih lagi dengan aksi yang ditampilkan pemainnya yang dianggap tidak fokus dan gagal mempamerkan karakter sebenar di atas padang.
Menurutnya, karakter dalam pasukan skuad Jang perlu diperbaiki terutama dalam bertahan kerana ia merupakan punca utama yang kita sudah kenal pasti.
BACA LAGI: Habuan jutaan ringgit menanti JDT, Selangor beraksi di Asia
BACA LAGI: Tambah marsyal antara 3 cara elak aksi panas El Clasico Malaya berulang
Skuad Jang terpaksa menelan pahit apabila tewas 0-4 di tangan Selangor FC. — Facebook/NSFC
“Setakat tiga perlawanan ini, apa yang saya boleh katakan, karakter dalam pasukan ini perlu lebih baik terutama apabila bertahan sebab, itu adalah punca yang kita kenal pasti.
“Bolos tujuh jaringan dalam tiga perlawanan pertama adalah sangat tidak baik dan secara teknikal barisan pertahanan tidak berjaya bermain dan menunjukkan karakter yang betul,” tambahnya lagi.
Mengulas tentang prestasi pemain import, Azzmi turut menyatakan dia masih menagih kualiti dan pengalaman sebenar pemain import pasukan itu yang dilihat masih belum mempamerkan aksi yang terbaik setakat ini.
Jelasnya, dia memuji usaha keras pemain import seperti Takumi Sasaki, Miguel Angel Junco Martínez serta Jacque Faye namun masih menantikan aksi yang lebih baik dan bertenaga di atas padang.
“Sebagai pemain import, mereka perlu bekerja lebih keras dan harus sedar saingan dalam liga ini tidak mudah,” jelas Azzmi.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 48 tahun itu menyatakan, skuadnya menyedari kesilapan yang dilakukan dalam tiga perlawanan lepas dan sedang melakukan persiapan yang lebih baik untuk memburu tiga mata pertama menentang pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Azzmi dalam temu bual juga berkongsi, anak buahnya perlu mendapatkan mata dalam perlawanan menentang KL City untuk mengembalikan semula motivasi sambil itu akan menjadi momentum terbaik yang akan dibawa untuk berdepan dengan Sri Pahang FC di Stadium Temerloh, Pahang 13 Julai nanti.
“Kita tahu kita bukan dalam keadaan yang baik, namun semua pemain yang akan bermain nanti perlu sedar dengan tanggungjawab yang diberi memandangkan kita terdesak untuk mendapatkan mata dalam perlawanan ini.” tambahnya lagi.
Azzmi juga turut menyeru kehadiran penyokong setia Negeri Sembilan ke stadium memandangkan itu akan menjadi motivasi terbesar pemain untuk menghadapi KL City dalam misi memburu kemenangan di Paroi nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram