KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasil membongkar taktik peniaga yang menjual minyak masak peket tidak cukup satu kilogram (kg).
Pembongkaran itu dikongsikan menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok @nforceteamkpdn pada Sabtu lalu.
Klip berdurasi dua minit 28 saat itu memaparkan sepasukan pegawai penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya membuat pemeriksaan di sebuah kilang minyak peket.
BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing kantoi rembat minyak peket bersubsidi, sumbat dalam but van di Klang
BACA LAGI: [VIDEO] Belum tentu dapat kerja, ramai dakwa karnival kerjaya sebenarnya scam
KPDN menerusi video tersebut memaklumkan, hasil pengauditan dan naziran pasukan penguat kuasa itu berjaya menghasilkan satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan yang dikeluarkan.
"Berdasarkan pemeriksaan menyeluruh yang dilaksanakan, setiap peket minyak masak yang dibungkus mempunyai kurang 20 hingga 100 gram.
"Walaupun jumlah itu dilihat kecil, tetapi ia adalah satu kesalahan kerana melibatkan subsidi yang telah diseleweng," katanya.
Malah, ketika disoal siasat KPDN, salah seorang pekerja kilang itu memberitahu, tindakan tersebut diambil disebabkan mesin di kilangnya rosak.
"Mesin rosak, skru dah longgar. (Kami) dapat tahu tiga bulan lepas.
"Saya dah maklumkan kepada bos, tapi bos buat tak tahu sahaja," dakwanya.
Difahamkan, penjualan minyak masak peket itu berlanjutan sejak tiga bulan lalu.
Jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan berdepan hukuman denda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakal RM500,000 bagi kesalahan kedua.
Ketika dihubungi, KPDN turut memaklumkan, pegawainya telah membuka kertas siasatan dan kes akan disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram