SUBSIDI diesel kini disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 23 jenis pengangkutan awam dan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kaedah kedua pula menerusi subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu dan agri-komoditi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Program penyasaran subsidi itu bertujuan mengurangkan jurang perbezaan antara harga runcit di pam dan harga pasaran diesel di samping mengatasi ketirisan akibat aktiviti penyeludupan serta penggunaan oleh segmen komersial tidak layak.
BACA LAGI: Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga
BACA LAGI: ‘Kalau takut tak mampu bayar diesel, mohon Budi Madani bukan jual kereta’
Berikut 5 penjelasan terhadap beberapa persoalan atau kemusykilan yang mungkin timbul mengenai pelaksanaan SKDS dan Budi Madani.
1) Bagaimana cara mendapat subsidi diesel?
Seperti yang diterangkan di atas, terdapat dua kaedah iaitu melalui kad fleet kepada sektor logistik dan bantuan tunai Budi Madani kepada pemilik kenderaan diesel individu layak.
Memahami dengan lebih lanjut mengenai SKDS, ia merupakan program yang diperluas ke fasa dua bertujuan untuk meningkatkan jumlah kenderaan barangan layak dapat diesel bersubsidi.
Antara jenis kenderaan terlibat dalam mekanisme SKDS.
Justeru, pertama sekali, haruslah dipastikan kenderaan komersial yang layak sahaja boleh menikmati subsidi diesel melalui kad fleet.
Mula dilaksanakan pada 2013, SKDS 1.0 membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam iaitu bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van/lori mayat, ambulans dan bomba.
Ia disusuli SKDS 2.0 Fasa I yang dilaksanakan secara Projek Rintis pada 1 Februari 2024 melibatkan sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan meliputi lori kargo am, penggerak utama, lori luton/kotak, lori tangki air, lori refrigerated, lori tangki tepung, lori minuman botol, window van dan panel van.
SKDS 2.0 Fasa II yang bermula 7 Mac 2024 menyaksikan pertambahan 14 jenis kenderaan pengangkutan barangan baharu iaitu lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van), lori rigid (kombinasi), bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan dan lori rigid (sampah).
Kesemua kenderaan ini perlu mempunyai cukai jalan aktif bagi menikmati pembelian diesel pada harga RM2.15 seliter.
Sebelum mekanisme tersebut dilaksanakan, kerajaan terlebih dahulu, sudah memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada nelayan kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.
Kenderaan yang layak perlu mempunyai cukai jalan aktif bagi menikmati pembelian diesel pada harga RM2.15 seliter.
Syarat kelayakan memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0 adalah seperti berikut:
i) Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016; atau entiti perniagaan tunggal dan perkongsian yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956; atau entiti perkongsian liabiliti terhad yang berdaftar di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012
ii) mempunyai kenderaan di bawah pemilikan syarikat / perniagaan tunggal atau perkongsian
iii) kenderaan mempunyai cukai jalan sah
iv) jenis kenderaan terdiri daripada 23 jenis kenderaan yang disenaraikan
2) Bagaimana cara mohon kad fleet untuk menikmati subsidi diesel:
Bagi memenuhi permintaan 23 jenis kenderaan yang layak melalui SKDS ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPND) menyediakan stok 1 juta kad fleet hasil kerjasama dengan lima syarikat minyak.
Permohonan pembelian diesel bersubsidi menggunakan kad fleet boleh dibuat oleh syarikat/individu dengan melayari laman web mysubsidi.kpdnhep.gov.my.
Orang ramai juga boleh melayari laman web tersebut untuk membuat permohonan tambahan kenderaan dan pertukaran syarikat minyak.
Maklumat yang diperlukan adalah:
(i) butiran maklumat syarikat
(ii) nombor pendaftaran kenderaan
(iii) pilihan syarikat minyak antara jenama Petronas, Shell, Petron, Caltex atau BHP
3) Pendaftaran SKDS 2.0 tidak berjaya? Semak butiran dokumen diperlukan untuk dapat kelulusan cepat:
Jika pendaftaran SKDS 2.0 dalam Sistem MySubsidi Diesel tidak berjaya, pemohon perlu membuat semak terhadap dokumen tertentu.
Ini kerana terdapat beberapa perkara yang menyebabkan pendaftaran anda tidak berjaya antaranya seperti berikut:
(i) No MyKad/ No. SSM tidak tepat
(ii) Ejaan nama syarikat/ perniagaan tidak sama seperti dalam Sijil Perakuan Pendaftaran
(iii) Pendaftaran menggunakan No SSM yang lama
(iv) Kenderaan tidak tersenarai di dalam 23 jenis kenderaan yang dinyatakan
(v) Kenderaan bukan hak milik syarikat yang memohon
(vi) Cukai jalan kenderaan syarikat telah tamat tempoh
Pastikan anda mematuhi semua syarat kelayakan yang ditetapkan terlebih dahulu oleh KPDN.
Selain itu, anda juga perlu memenuhi syarat dan terma yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat minyak yang mengeluarkan kad fleet.
Permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan ke alamat seperti yang dinyatakan di laman web https://www.kpdn.gov.my/ms/perdagangan/perniagaan/pengurusan-industri-petroleum-dan-gas/diesel-bersubsidi-fleet-card.
Kelulusan adalah serta merta dengan syarat semua maklumat adalah lengkap dan tepat.
Golongan petani kecil juga tidak dilupakan kerana bantuan tunai Budi Madani merangkumi tiga segmen baharu.
4) Pemilik kenderaan persendirian keliru antara layak atau tidak terima subsidi? Apa kata cuba dulu mohon subsidi diesel.
Di tengah-tengah pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, tentunya ada pemilik kenderaan persendirian yang keliru sama ada dirinya layak atau tidak menerima bantuan bahan api itu.
Dengan bentuk bantuan baharu yang diperkenalkan, hampir semua pengguna diesel di negara ini menerima manfaat subsidi diesel dengan melibatkan kenderaan pengangkutan awam, nelayan kategori tertentu, kenderaan komersial dan kenderaan peribadi.
Kementerian Kewangan melaporkan kira-kira 400,000 penerima memperoleh manfaat SKDS 2.0, Budi Individu (kira-kira 300,000 penerima) dan Budi Agri-Komoditi (kira-kira 300,000 penerima petani dan pekebun kecil).
Di bawah kategori penerima individu, pemilik kenderaan dengan pendapatan tahunan individu atau pasangan kurang RM100,000 layak memohon.
Pada masa sama, kenderaan diesel individu mestilah didaftar atas nombor kad pengenalan penerima, memiliki cukai jalan yang aktif dan kenderaan berusia kurang 10 tahun.
Dengan bentuk bantuan baharu yang diperkenalkan, hampir semua pengguna diesel di negara ini menerima manfaat subsidi diesel.
Golongan petani kecil juga tidak dilupakan kerana bantuan tunai Budi Madani merangkumi tiga segmen baharu.
Ia membabitkan kelayakan dengan jualan tahunan antara RM50,000 ke RM300,000 selain berdaftar di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Sebagai langkah interim, untuk jangka panjang perlulah berdaftar dengan sistem pendaftaran Geo-Agro.
Pekebun kecil turut menikmati bantuan tunai merangkumi lima segmen baharu yang akan memanfaatkan kira-kira 200,000 penerima.
Ia membabitkan kelayakan dengan jualan tahunan antara RM50,000 ke RM300,000 selain berdaftar di bawah Kementerian Perladangan & Komoditi, seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Koko Malaysia dan Lembaga Lada Malaysia.
5) Usah keliru dengan PADU, Budi Madani lebih khusus kepada golongan layak terima subsidi diesel
Di sini juga orang ramai dinasihatkan tidak terkeliru kerana berbeza dengan Pangkalan Data Umum (PADU), Budi Madani diperkenalkan sebagai platform penyasaran subsidi diesel hanya kepada yang memerlukan.
Kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan.
Malah pemohon boleh membuat permohonan bayaran balik interim bagi permohonan SKDS yang telah diluluskan oleh KPDN tetapi masih menunggu untuk mendapatkan kad fleet.
Infografik empat langkah mudah memohon Budi Madani Individu.
Di bawah Budi Agri-Komoditi, bantuan subsidi tunai disediakan kepada golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian terlibat.
Ia antara lain dimanfaatkan susulan kenaikan kos diesel jentera pertanian yang digunakan.
Menerusi Budi Individu pula, bantuan subsidi tunai disediakan kepada pemilik kenderaan diesel individu dengan syarat kelayakan tertentu.
Bantuan ini dapat menampung kenaikan kos pengangkutan harian individu yang menggunakan kenderaan diesel.
Untuk maklumat lanjut, layari budimadani.gov.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram