Derita 'parking' penduduk PPR yang tak berkesudahan


  • Massa
  • Isnin, 14 Feb 2022

SUASANA di PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

MASALAH ketiadaan ruang tempat letak kereta yang mencukupi di kawasan perumahan khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terus mengganggu kesejahteraan penduduk dari tahun ke tahun.

Sehingga kini, isu itu masih tidak menemui jalan penyelesaian, malah semakin serius dengan keadaan kereta penghuni yang semakin bertambah.

Tinjauan Majoriti di sekitar PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur mendapati ramai penduduk di situ mengadu, disebabkan masalah kawasan meletak kenderaan yang terhad itu, pelbagai masalah lain yang timbul seperti kereta tercalar, pergaduhan dengan jiran dan sebagainya.

Azmi Yusof, 59 tahun berkata, sesetengah penghuni bersikap mementingkan diri kerana ada yang meletakkan kenderaan mereka dalam keadaan tidak menurunkan brek tangan sehingga terpaksa menyusahkan jiran.

"Jika pemilik nak pergi kerja jadi masalah. Sampai kena memekik, kena hon dan sampai satu tahap boleh bergaduh dengan jiran. Orang nak rehat-rehat tapi di situ juga nak hon jiran bagai. Semua itu terjadi disebabkan parking yang terhad.

"Isu ini jadi sangat kritikal apabila lori sampah susah nak masuk. Ialah dengan keadaan yang sempit sebegitu macam mana lori nak masuk. Apabila lori sampah tidak dikutip penduduk pula mengadu.

"Selepas itu ada juga yang buat bengkel haram. Ambil ruang tanpa izin DBKL. Saya ada beritahu DBKL, sudah bagi dengan zon tapi tiada tindakan," kata penghuni yang sudah mendiami PPR Laksamana sepanjang 18 tahun itu.

parking 1

BENGKEL haram yang diwujudkan oleh penghuni antara punca kekurangan tempat parkir di kawasan PPR Laksamana.

Malah kata bekas ketua blok di PPR Laksamana itu, sebelum ini dia mencadangkan agar diwujudkan palang bertingkat untuk keselamatan penghuni dek kerana kewujudan lorong tikus yang membuka ruang kepada kejadian curi motor.

Bagi Mohanasundram Muniam, 58, sebagai seorang yang berniaga, dia terpaksa meletakkan kenderaannya luar dari kawasan perumahannya kerana masalah kekurangan tempat letak kereta.

"Saya buat perniagaan sound system jadi sepatutnya kena parking dalam lah untuk memudahkanlah angkat barang-barang itu. Ini tidak pasal-pasal saya kena park luar untuk angkat barang berat tu.

"Sepatutnya setiap lot, pihak DBKL menyediakan satu atau dua parking. Tidak apalah kalau terpaksa bayar yuran penyelenggaraan pun, yang penting ada parking. Kalau tahu nak buat flat jadi kena tahulah apa perlu buat. Sebelum buat rumah, buat parking dulu. Kena rancanglah. DBKL kena fikir betul-betullah," kata Mohan.

Muhammad Hanipah bin Sheikh Hussain, 65, yang sudah mendiami kawasan itu dalam 18 tahun, menyifatkan situasi berkenaan menjadi rumit sejak pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

"Sejak MRT buka, orang luar semua letak kereta sini. Kemudahan mereka senanglah sebab pergi kerja naik MRT tapi kereta parking sini.

"Walau saya tiada kereta tapi penghuni lain ada. Sejak MRT diwujudkan, semua kereta di sini jadi sesak sehingga lori sampah pun susah nak masuk," kata peniaga kedai runcit di PPR Laksamana itu.

Bagi seorang penjawat awam di Kuala Lumpur, Mohamed Khudos, 43, berkata, terdapat banyak kereta rosak yang tersadai sejak dahulu lagi tetapi masih tiada pemilik mahupun pihak berkuasa alihkan kereta berkenaan.

"Kereta rosak itu parking sini dan mereka tidak alihkan pun kereta tu. Tapi walau kereta rosak dialih, tapi tetap saja tiada parking. Sebab sekarang satu rumah pun sudah berapa buah kereta. Kita tidak boleh nafikan masalah ini.

"Kalau tiada parking, saya terpaksa parking luar. Bila parking luar terus kena saman, saya banyak kali dah kena saman dari DBKL.

"Buat parking bertingkatlah. Patutnya sebelum buat rumah, buat parking lah dulu. Jadi bolehlah kurangkan masalah ni. Saya tidak kisah pun nak bayar walau bayar RM60 pun," katanya.

parking 2

KERETA rosak dan tersadai antara punca kekurangan tempat parkir di kawasan PPR Laksamana.

Vishali Tharmalingam, 29 yang bekerja swasta pula menceritakan pengalamannya berhubung isu tempat letak kereta itu yang mana sehingga pernah dicalar dan baterinya dicuri.

"Susah parking sebab susah parking di dalam. Saya selalu double parking sebab ada yang tidak turun brek tangan.

"Dulu kereta saya ada yang kena curi bateri dan dicalar sebab parking di tepi. Bagi saya kalau DBKL ambil kereta rosak itu, sebenarnya banyak tempat saja sebenarnya untuk parking. Tapi kalau ada parking bertingkat lagi bagus kerana setiap hari ada pertambahan kereta," katanya.

Dalam pada itu, bagi penghuni PPR Laksamana, jalan penyelesaian yang mereka harapkan daripada isu itu adalah berharap pihak DBKL dapat mewujudkan tempat meletak kenderaan bertingkat untuk penghuni di kawasan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PPR Laksamana, DBKL, parking, MRT, terhad