NAMA penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Muhaimin Mohamad semakin diingati penyokong domestik selepas ketangkasannya dalam menafikan percubaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Pusingan 16 Piala FA.
Walaupun skuad Kijang Emas tewas dengan keputusan 0-4 di tangan JDT dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu namun persembahan cemerlang Muhaimin membuat penyokong makin menyukainya.
Anak jadi Kedah berkenaan menyelamatkan dua kali sepakan penalti dari Harimau Selatan, pertama ketika Muhaimin menepis keluar percubaan Juan Munizz pada minit ke-61.
BACA LAGI: Tak perlu bimbang lagi khidmat Syihan, KPG ada pilihan anak jati Kedah beraksi cemerlang tepis JDT
BACA LAGI: Piala FA: Bergson 'hilang' dari radar, KDN FC buat penyokong Kelantan lega
Sepakan penalti kedua yang diselamatkan oleh Muhamin ketika percubaan pertama Arif Aiman Hanapi pada minit ke-93 namun ia dibatalkan oleh pengadil sehingga pemain muda JDT itu diberi peluang sekali lagi untuk melakukannya.
Dek persembahan cemerlang penjaga gol berusia 32 tahun itu, ramai penyokong mula menggali masa lalu Muhaimin bersama bekas-bekas pasukan dan antara yang menarik ialah pemain berkenaan juga pernah menjadi duri dalam daging buat JDT pada 2020.
Berdasarkan hantaran laman penyokong, pemainke12_my, Muhaimin yang ketika itu bersama Felda United menyelamatkan banyak percubaan bahaya JDT termasuklah sepakan penalti bekas penyerang Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera pada minit ke-66.
Berkat kecemerlangan Muhaimin, Felda yang dibimbing Nidzam Jamil ketika itu muncul pasukan pertama melakar kejutan ke atas JDT di Stadium Sultan Ibrahim apabila mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super pada 2020.
Dengan pengalaman pernah menewaskan Harimau Selatan, bekas penjaga gol Selangor FC II (PKNS) itu pasti sudah menganalisa sepakan penalti pemain JDT dan juga sepakan sudut pasukan berkenaan.
Untuk rekod, Muhaimin yang baru sahaja menyertai Kelantan pada awal musim ini memulakan karier bersama skuad remaja Sang Kenari pada 2010 namun kegagalan menembusi senarai pemain menyaksikan penghijrahan Muhaimin ke Kuala Lumpur City, PKNS, dan Felcra FC.
Kemuncak kariernya ialah pada musim 2019 apabila menjadi pilihan K. Devan untuk mengawal kubu Petaling Jaya City FC. Setelah itu, dia direkrut Felda sebelum ke Negeri Sembilan FC pada 2021 tetapi dilepaskan sebaik sahaja tamat musim 2023. — Majorit
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram