'Kalau Matematik pun ChatGPT boleh buat, apa pula peranan cikgu?'


  • Massa
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Tugas warga pendidik semakin mencabar dan memerlukan kreativiti dan inovasi bagi memastikan PdP seiring dengan perkembangan teknologi.

TUGAS warga pendidik hari ini semakin mencabar dan memerlukan kreativiti dan inovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran seiring dengan perkembangan teknologi.

Malah perkara itu dibuktikan apabila aplikasi ChatGPT mampu memaparkan maklumat yang lebih tepat dalam menyelesaikan masalah subjek Matematik sekali gus dikatakan menggugat peranan guru.

Perkongsian itu dibuat oleh seorang Tutor Matematik dan Matematik Tambahan, Rajinder Singh di laman Facebook.

BACA LAGI: 'Trend Nobita SPM' mungkin cara pelajar memberontak, petanda perlukan bantuan masyarakat — Pakar

BACA LAGI: 'Guru kena terima hakikat, ikut sahaja tarikh ditetapkan KPM'

"Kalau dah semua ChatGPT boleh buat, dan boleh menunjukkan penyelesaian yang lebih mantap, lebih baik, apakah pula peranan kita sebagai pendidik?

"Kalau masa keluaran awal ChatGPT ini, bila ditanya soalan Matematik, biasanya jawapan yang diberikan kurang tepat dan ada kalanya 'menyesatkan'.

"Namun sekarang, ChatGPT sudah mula belajar daripada kesilapan dan menunjukkan kemajuan yang sangat dahsyat," katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.

Rajinder turut memuat naik beberapa soalan Matematik yang terkandung dalam Buku Teks Tingkatan 2 ke dalam aplikasi ChatGPT tersebut dan menurutnya kesemua jawapan dijawab dengan betul.

Sehubungan itu, Rajinder yang juga seorang guru menasihati agar golongan pendidik untuk mempertingkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) supaya tidak ketinggalan.

"Persoalannya sekarang, berapa ramai dalam kalangan kita dan KPM bersedia dengan perubahan ini?

"Beramai guru yang sudah mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP)?

"Dan sekiranya semua maklumat dalam buku teks boleh dijawab secara umum oleh ChatGPT dan mutu kupasan jawapan dia bagus berbanding dengan kita yang mengajar sesuatu mata pelajaran, adakah perlu pelajar datang ke sekolah belajar daripada kita?" soalnya.

Tambah beliau lagi, golongan pendidik tidak sepatutnya alpa dan leka dengan ledakan teknologi tersebut.

"Saya berpendapat, jika kita masih alpa dan leka dengan ledakan teknologi ini, tidak 'upgrade' diri dengan perkembangan semasa, masih mengajar dengan kaedah klasik, 'pi mai pi mai tang tu' juga jawabnya nanti. Tak gitu?

"Dalam sesi MIA (Maths In Action) kalau dikongsikan kisah AI ini, memang menarik. Apatah lagi jika dibuat sesi MIA Edisi Guru," katanya.

Untuk makluman, ChatGPT ialah satu program komputer yang direka untuk berbual dengan manusia, persis kita berbual dengan seseorang.

Program itu beroperasi dengan cara melihat set data besar perbualan yang pernah dimiliki orang dan menggunakan maklumat tersebut untuk menjana respons yang sesuai dan berkaitan dengan perbualan.

Sebagai contoh, jika anda bertanya soalan chatGPT, ia akan melihat perkataan yang anda gunakan dan cuba memahami apa yang anda tanya. Ia kemudian akan menggunakan maklumat tersebut untuk menjana respons yang sesuai dan masuk akal dalam konteks perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram