'Trend Nobita SPM' mungkin cara pelajar memberontak, petanda perlukan bantuan masyarakat — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 30 Mei 2024

Ada dalam kalangan pelajar ini tanpa segan memuat naik keputusan teruk mereka kerana hanya ingin mengikuti trend Nobita yang kini sedang popular.

FENOMENA pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempamerkan keputusan teruk melalui 'trend Nobita SPM' di laman media sosial terutamanya di aplikasi TikTok semakin mendapat perhatian ramai.

Malah, ada dalam kalangan pelajar ini tanpa segan sanggup membuka pekung di dada sendiri dan memuat naik keputusan teruk mereka kerana hanya ingin mengikuti trend Nobita yang kini sedang popular.

Difahamkan, trend ini merujuk kepada watak Nobita Nobi dari siri manga dan anime popular Doraemon, yang terkenal dengan prestasi akademik yang kurang memberangsangkan.

BACA LAGI : NUTP desak KPM bentang maklumat, punca lebih 10,000 calon tidak duduki SPM 2023

BACA LAGI : 'Mana dapat data?', ayah pelajar SPM terkejut anak terima tawaran belajar, biasiswa sehari lepas keputusan diumum

Walaupun ia dianggap sebagai pengaruh buruk kerana kebanyakan pelajar yang memuat naik keputusan tersebut seakan-akan berbangga mendapat gred G namun Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad mempunyai pendapat yang berbeza.

Katanya, pelajar yang mempamerkan keputusan SPM yang teruk di platform media sosial ini mungkin mengalami pelbagai tekanan dan kekecewaan.

2658432

Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad

"Dalam erti kata lain, pelajar tersebut berkemungkinan menggunakan trend ini sebagai satu bentuk pemberontakan terhadap harapan masyarakat yang terlalu tinggi termasuk ibu bapa, guru pihak sekolah dan juga kerajaan.

"Dengan menunjukkan bahawa mereka tidak peduli atau tidak terkesan dengan kegagalan mereka, mereka mungkin cuba mencabar norma sosial yang mengaitkan kejayaan dengan keputusan peperiksaan semata-mata.

"Pada masa sama, pelajar ini berkemungkinan ingin menunjukkan bahawa kegagalan akademik tidak mendefinisikan keseluruhan diri mereka," katanya kepada Majoriti.

Jelas beliau lagi, sistem pendidikan yang menekankan kepentingan keputusan akademik sering kali memberikan tekanan yang besar kepada pelajar.

"Apabila tidak mencapai keputusan yang diharapkan, mereka mungkin merasa tertekan dan memilih untuk mengikut trend ini sebagai satu cara untuk meringankan tekanan tersebut, mungkin melalui humor atau sindiran.

"Selain itu, ini juga mungkin salah satu cara di mana pelajar mencari pengesahan atau sokongan daripada rakan sebaya. Dalam konteks ini, memaparkan keputusan yang teruk mungkin dilihat sebagai cara untuk memperoleh perhatian atau simpati, walaupun secara tidak langsung," ujarnya lagi.

Young tired and stressed student working on his homework, masters feeling desperate and frustrated asking for help. In over Education, learning difficulties, finals exams and emotional stress concept.

Pelajar yang mempamerkan keputusan teruk memerlukan sokongan emosi atau bimbingan untuk mengatasi kekecewaan dan tekanan yang dihadapi. — Gambar Hiasan

Menurut Fauziah Mohd lagi, trend tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai panggilan tidak langsung untuk bantuan.

"Pelajar yang mempamerkan keputusan teruk memerlukan sokongan emosi atau bimbingan untuk mengatasi kekecewaan dan tekanan yang dihadapi.

"Adalah penting untuk mengenal pasti isyarat-isyarat ini dan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk pelajar," tegas beliau.

Sehubungan itu, Fauziah Mohd berkata, secara keseluruhan, memahami motivasi di sebalik tindakan ini adalah penting. Ini dapat membantu pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat untuk menyediakan sokongan yang lebih baik kepada pelajar, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi emosi dan psikologi.

"Pendekatan yang lebih empati dan menyeluruh dapat membantu pelajar mengatasi tekanan dan mencapai potensi mereka secara keseluruhan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram