PADA Ahad, Kerajaan mengumumkan penetapan harga baharu bagi diesel yang kini diapungkan mengikut harga pasaran tanpa subsidi.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bermula Isnin, harga bahan api itu ditetapkan pada RM3.35 bagi setiap liter (L).
Beliau berkata, penentuan harga itu akan dilakukan mengikut kaedah ‘Automatic Pricing Mechanism’ dengan penetapan harga diesel semasa akan diumumkan setiap minggu mengikut seperti amalan dilakukan Kementerian Kewangan ketika ini.
Pengumuman terbabit sememangnya merupakan sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia melibatkan kenaikan bernilai RM1.20 berbanding harga kawalan sebelum ini iaitu RM2.15.
BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin
BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan
Disebabkan itu, rata-rata warganet melahirkan kebimbangan khususnya mengenai kesan langkah tersebut terhadap kenaikan harga barangan di dalam negara.
Meskipun ramai antara mereka mengakui kepentingan penyasaran subsidi itu, kaedah pelaksanaannya yang mengakibatkan peningkatan mendadak harga bahan api terbabit dikhuatiri memberi impak terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Kebimbangan sama turut disuarakan oleh pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri.
"Patut naik sikit-sikit supaya pasaran boleh adjust dulu. Naik banyak sangat, M40 (golongan kelas pendapatan menengah) sakit teruk ni. Nak jual (kereta diesel) terpakai pun nilai dah jatuh. Tak tahu berapa lama.
"Syarikat kereta pun kena nilai balik unjuran pasaran dia. Aku tak pernah cakap aku tak sokong penilaian semula subsidi bahan api ini, tapi kena hati-hati," tulisnya menerusi ciapan di laman X.
Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata daripada warganet turut melahirkan keresahan mengenai impak bakal berlaku ekoran langkah tersebut.
Pada masa sama, ada antara mereka turut memberikan cadangan mengenai langkah tambahan perlu dilaksanakan kerajaan sekiranya mahu memastikan dasar penyasaran subsidi itu benar-benar berkesan di samping meringankan beban rakyat.
Antara cadangan dikemukakan adalah pengenalan harga diesel lebih kompetitif dengan negara jiran di samping mengurangkan kadar cukai jalan kenderaan diesel.
Harga diesel di negara jiran lebih tinggi.
Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi.
Jumlah diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter tahun 2019 kepada 10.8 bilion... pic.twitter.com/UICWzl3Su8
— BERNAMA (@bernamadotcom) June 9, 2024
Pada masa sama, terdapat netizen yang turut menyentuh mengenai pengkelasan pendapatan yang layak menerima bantuan subsidi berkenaan kerana disifatkan gagal untuk memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan kewangan isi rumah di Malaysia.
"Sepatutnya, harga ditetapkan pada RM4, dekat dengan harga pasaran diesel di Thailand. Jadi tiada isu seludup," tulis frhndd_.
"Penyeludupan minyak ini akan terus berlaku. Harga minyak kita masih lagi murah dibandingkan negara jiran. Tidak mahu golongan mahakaya ambil subsidi lebih pun tak relevan. Apa benda pendapatan isi rumah lebih 100,000 pun dikira mahakaya, ujar PencoretCerita.
"Bagi sayam hapus subsidi bukan maslah tapi kena turunkan kadar cukai terhadap pembayar cukai juga. Diesel lori harga patut sama dan digantikan dengan kenaikan harga cukai kereta. Bagi kereta diesel harga (diesel) naik RM0.50 pun bagus sebab cukai jalan bagi tinggi," tulis Only_ME_Rana.
"Dasar pemalas, ambil jalan mudah. Letak threshold T20. Yang berkenderaan diesel bukannya beli minggu lepas. Sebelum beli, ambil kira bayaran bulanan, kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan dan sebagainya," kata PakMan_BM.
"Kalau dah harga macam ni, patut roadtax diesel diturunkan. Ini roadtax pun harga mencekik," kata AZRZMHD.
Isu perbezaan harga antara negara jiran yang menyumbang kepada penyeludupan itu turut disokong oleh ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.
"Tanpa subsidi pun masih menguntungkan untuk seludup. Kalau harga subsidi RM2.15 setiap liter, lagi untung," tulisnya di ciapan di laman X.
Meskipun dengan penetapan kadar baharu, harga minyak diesel di Malaysia masih lagi kedua termurah berbanding dengan negara Asia Tenggara lain antaranya Thailand iaitu RM4.24 bagi setiap liter, Indonesia (RM4.43/L) dan Singapura (RM8.79/L). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram