PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan semua Perdana Menteri sebelum ini bersetuju dengan penyasaran subsidi, namun tiada tekad politik untuk melaksanakannya.
Menurut laporan Buletin TV3, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun menyedari terdapat risiko atas keputusan tersebut, namun kerajaan tiada pilihan demi menyelamatkan negara.
“Kita terpaksa mengambil beberapa tindakan tidak popular tetapi untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi, kena tahu apapun kita lakukan akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan. Saya tak boleh pakai songkok, serban, jubah tapi tipu terus menerus padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini semua Perdana Menteri sebelum itu telah setuju tapi tiada tekad politik melaksanakan kerana risikonya ada tapi untuk selamatkan negara kita tiada pilihan,” katanya.
BACA LAGI: Kebebasan media terjamin, tapi jangan guna untuk pecah belahkan negara — PM Anwar
BACA LAGI: Menderita sakit tulang kaki, Azman Adnan terima sumbangan PM Anwar
Penyasaran subsidi diesel mendapat respons cukup hangat daripada masyarakat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Jun di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya pada Isnin.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Binti Othman Said; Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mulai tengah malam Isnin, harga diesel mula diapungkan dengan harga permulaan di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu dilapor berkata, ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik yang sedia ada.
Ujarnya, untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap Rabu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.
Pada 21 Mei lalu, Anwar dalam Perutusan Negara menyatakan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Bagaimanapun, penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga kekal pada RM2.15 seliter. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram