MAJLIS Pelancaran Jentera Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Ahad bertukar panas selepas seorang lelaki mencetuskan kekecohan dengan menjerit mempersoalkan mengenai isu penurunan harga bahan api.
Situasi tersebut berlaku ketika Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli sedang berucap di atas pentas.
Menerusi video tular di media sosial, lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai penyokong UMNO didengar mempersoalkan mengenai janji pernah dibuat oleh Rafizi sebelum ini ketika menjadi pembangkang untuk menurunkan harga minyak.
BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin
BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan
Ekoran daripada kekecohan yang berlaku, Rafizi tampil menjemput lelaki berkenaan naik ke atas pentas untuk bertanyakan terus soalan kepadanya berhubung isu tersebut.
Pelawaan itu bagaimanapun tidak disambut dengan individu terbabit dilihat kekal berada di kawasan penonton.
Situasi berkenaan tidak menghalang Rafizi untuk memberikan jawapan terhadap persoalan ditimbulkan apabila beliau terus memberikan penjelasan berkaitan perkara tersebut.
"Minyak tak turun. Zaman minyak dulu yang harga RM1.90, tahu tak harga minyak mentah berapa masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan. Waktu itu, sikit sahaja, subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet lebih RM200 bilion.
"Sekarang subsidi RM60 bilion. Harga minyak mentah sekarang cecah AS$80 setong. Saya sebut dulu kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditanggung kenapa nak hapuskan subsidi?
"Sekarang ini bila subsidi dah jadi RM80 bilion, nak buat sekolah tak boleh. Nak naik gaji tak boleh. Kemudian pemberian subsidi yang menyebabkan harga minyak rendah itu yang (banyak) dapat orang kaya-kaya," katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
“Tiap2 tahun kerja kamu diluar maki, masuk dlm meeting cium tangan mintak duit” - RAFIZI-
“Kamu nak subsidi RM50-60B setahun ini dibayar terus kepada 5-6 syarikat minyak setiap tahun atau pun kita agihkan pada keluarga2 biar keluarga dapat subsidi minyak tiap2 bulan”... pic.twitter.com/uDDg7S4ML8
— Rangga Is Back (@alif_haidar) June 10, 2024
Susulan daripada pelaksanaan subsidi bahan api, Kerajaan pada Ahad mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, langkah terbaharu kerajaan itu bukan bermakna pentadbiran negara menghapuskan pemberian subsidi sebaliknya menyasarkan kepada golongan yang memerlukan.
"Bukan kita batalkan, tapi kita alih subsidi. Maksudnya subsidi itu terus diberi, diesel semua kenderaan awam semua dapat.
"Lori kecil, trak pikap, yang berniaga semua dapat. Malah yang orang biasa, asalkan dia ada kenderaan diesel dan gaji kamu RM100,000 ke bawah setahun pun dapat RM200 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau yakin bahawa rakyat boleh membuat pilihan mengenai isu tersebut sekiranya mereka diberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan termasuk sepanjang kempen PRK Sungai Bakap.
"Rakyat kena pilih kamu nak subsidi yang RM60 bilion hingga RM80 bilion setahun ini dibayar terus kepada lima enam syarikat minyak setiap tahun atau kita agihkan kepada keluarga-keluarga. Biar keluarga dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan.
"Saya yakin akhirnya rakyat dapat melihat lebih baik wang itu pergi kepada keluarga-keluarga daripada orang asyik cakap minyak murah tapi sebenarnya RM60 bilion pergi kepada syarikat minyak dalam keadaan negara dah tak mampu untuk tanggung subsidi macam itu," ujarnya.
Dengan pelaksanaan rasionalisasi diesel, kerajaan kini menyalurkan bantuan secara bersasar melalui dua kaedah membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 23 jenis pengangkutan awam dan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kaedah kedua pula menerusi subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu dan agri-komoditi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Program penyasaran subsidi itu antara lain bertujuan mengurangkan jurang perbezaan antara harga runcit di pam dan harga pasaran diesel di samping mengatasi ketirisan akibat aktiviti penyeludupan serta penggunaan oleh segmen komersial tidak layak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram