Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan


  • Politik
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Enam kawasan Parlimen dijangka berisiko diadakan PRK susulan perlucutan keahlian penyandanganya daripada BERSATU ekoran pendirian mereka mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri. — Gambar hiasan

KERAJAAN dianggar bakal mengeluarkan perbelanjaan mencecah RM36 juta bagi menguruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kawasan Parlimen yang berpotensi diadakan susulan kemungkinan pengosongan kerusi tersebut.

Terdahulu, keenam-enam kawasan tersebut dijangka bakal berdepan PRK selepas penyandangnya dilapor dilucutkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) susulan pendirian mereka mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, anggaran perbelanjaan bagi pilihan raya kecil tersebut adalah khusus melibatkan operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak membabitkan perjalanan kempen.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

BACA LAGI: Bukan deposit tetap mana-mana parti, PRK Sungai Bakap mungkin saksikan persaingan terbuka 4 penjuru

"Biasa kalau Parlimen, perbelanjaan yang diperlukan secara purata dalam lingkungan antara RM5 juta ke RM6 juta. Sebagai contoh, sebelum ini PRK Parlimen Pulai SPR umum anggaran belanja mereka adalah RM4.5 juta.

"Kos ini juga bergantung kepada berapa keluasan kawasan dan jumlah pengundi," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Manimaran yang juga penulis bersama buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang' berkata, sebahagian besar perbelanjaan berkenaan digunakan bagi kos membayar pekerja pilihan raya.

1479445

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran

Beliau berkata, secara umumnya, terdapat 10 hingga 15 kategori pekerja semasa tempoh pilihan raya bermula daripada jawatan pentadbir tinggi seperti pengurus dan penolong pengurus pilihan raya sehingga mereka yang melakukan kerja perkeranian.

"Sama ada yang berjawatan pegawai atau bukan pegawai, kos operasi bagi pekerja pilihan raya semuanya akan melibatkan kos. Sebagai contoh bagi petugas khas kempen pilihan raya, SPR kena sediakan elaun perjalanan contohnya untuk mereka.

"Begitu juga dengan mereka yang lakukan pekerjaan yang kita istilah sebagai office boy atau pembantu pentadbir yang angkat fail misalnya. Jadi itu semua libatkan kos selain daripada keperluan biasa seperti perbelanjaan mencetak kertas undi dan sebagainya," kata beliau.

Manimaran berkata, lazimnya, pekerja pilihan raya ni akan dilantik dalam kalangan antaranya guru dan pekerja di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, mengulas mengenai perbelanjaan kempen pula, beliau berkata, kos bagi setiap calon dianggarkan boleh mencecah antara RM500,000 hingga RM1 juta.

Ujarnya, meskipun di bawah undang-undang setiap calon bagi kawasan Parlimen dihadkan kepada RM200,000, namun kebanyakan perbelanjaan dikeluarkan daripada jumlah tersebut dilakukan di bawah nama parti atau pihak ketiga.

Picture taken on September 21, 2020 in Kota Kinabalu during Sabah Election .Election Commission staff, Nelly Golor making the final preparations in anticipation of the early vote at Sabah Police Headquarters in Kota Kinabalu. 1444 voters will vote at 8am on Tuesday (Sept 22). — ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

Sebahagian besar daripada jumlah perbelanjaan bagi pelaksanaan PRK diperuntukkan bagi menanggung kos operasi pekerja pilihan raya di bawah SPR. — Gambar hiasan

Selain kos percetakan poster dan bendera, beliau berkata, antara perbelanjaan lain bagi berkempen termasuk upah jentera, penyewaan pejabat, pengangkutan dan penganjuran majlis makan.

Ujarnya, kos bagi berkempen juga dianggarkan meningkat seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan barangan.

"Dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat ditambah dengan tempoh 14 hari berkempen. Contohnya untuk upah pekerja sahaja, mana ada sekarang ini yang sanggup terima upah RM100 sehari," katanya.

Dalam pada itu, G Manimaran berkata, sekiranya pilihan raya di enam kawasan Parlimen itu benar-benar berlaku, ia bakal mencipta sejarah sebagai PRK paling banyak dilangsungkan dalam waktu serentak di Malaysia.

Ujarnya, sebelum ini, PRK paling banyak diadakan serentak adalah pada 2009 yang melibatkan tiga kawasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram