Subsidi diesel: Inflasi dijangka lebih 2 peratus, kenaikan harga tidak jejas belanja asas rakyat — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 10 Jun 2024

Penganalisis ekonomi menjangkakan inflasi di dalam negara boleh mencecah lebih sekitar dua peratus ekoran penyasaran subsidi dilaksanakan kerajaan. — Gambar hiasan

PENGANALISIS ekonomi menjangkakan kadar inflasi di dalam negara akan meningkat mencecah sekitar 2.0 peratus pada bulan depan susulan langkah kerajaan melakukan pengapungan harga diesel bermula Isnin.

Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun peningkatan dijangka berlaku, ia berkemungkinan tidak berlaku pada tahap yang ketara.

Ujarnya, ini kerana langkah pengapungan itu dilakukan seiring dengan pemberian subsidi yang disasarkan terhadap 23 jenis pengangkutan awam menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

"Ketika ini, kadar inflasi negara berada pada tahap 1.8 peratus untuk tiga bulan beruturut-turut. Jangkaan penganalisis, ia mungkin meningkat melebihi sekitar dua peratus tapi tidak mencecah 3 dan ia akan stabil sekitar 2 peratus selepas itu.

"Jadi saya lihat memang akan berlaku peningkatan tapi ia tidak akan ketara," katanya kepada Majoriti.

Kerajaan pada Ahad mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin sekali gus menyaksikan kenaikan sebanyak kira-kira RM1.20 berbanding harga kawalan sebelum ini iaitu RM2.15.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berpandangan orang ramai bagaimanapun tidak perlu terlalu risau dengan peningkatan inflasi berkenan kerana ia dijangka tidak melibatkan perbelanjaan bagi barangan keperluan asas mereka.

"Mereka mungkin tidak akan nampak kenaikan itu kerana kalau barang keperluan asas masih lagi tertakluk kepada subsidi pukal dan harga kawalan. Contohnya macam beras dan minyak masak paket dan telur ayam.

"Kemudian ayam walaupun harganya tidak dikawal, harganya pada waktu ini masih agak rendah lagi. Disebabkan itu berkaitan barangan asas, memang tidak akan ada impak sebab masih dikawal," jelasnya.

Rising cost: File picture of customers at a restaurant in the Klang Valley. Food prices increased by 7.1% in October against the 6.8% in September.

Kos aktiviti makan luar dijangka bakal turut meningkat ekoran daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula pada Isnin. — Gambar hiasan

Pada masa sama, beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa terdapat beberapa jenis perbelanjaan yang berisiko merekodkan kenaikan antaranya kos makan luar dan juga pelancongan.

"Jadi mungkin dekat situ ada juga risiko kenaikan harga. Namun ia bergantung juga kepada sentimen pasaran itu sama ada kompetitif atau tidak. Misalnya kalau ada satu peniaga naikkan harga tapi peniaga lain tidak, kenaikan itu mungkin tidak berlaku.

"Oleh itu dalam hal ini, pelanggan harus lebih bijak melihat perbandingan harga mana yang lebih berpatutan," ujarnya.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Kanan dan Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar pula berkata, meskipun pemberian subsidi bersasar itu berupaya menyerap sedikit sebanyak kenaikan berlaku, namun kesannya terhadap peningkatan kos pengangkutan di dalam negara dijangka merentas pelbagai sektor.

"Ia pasti akan memberi impak terhadap kos barangan makanan dan makan di luar rumah. Oleh itu, saya menjangkakan kenaikan harga boleh berada dalam julat antara 3 hingga 3.5 peratus," ujarnya yang menyatakan bahawa situasi itu berkemungkinan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Beliau memaklumkan, dua sektor utama bakal terkesan adalah perkilangan dan pertanian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram