Cadang perketat peraturan vape: KKM disyor dapatkan data dari pihak sekolah


  • Massa
  • Selasa, 11 Jun 2024

Orang ramai dilihat skeptikal berhubung keupayaan kerajaan untuk menguatkuasakan langkah tersebut. — Gambar hiasan

PADA Ahad, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan akan mula mengetatkan kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik bermula pada bulan ini.

Langkah itu selari dengan penguatkuasaan Peraturan-peraturan kawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang bermula pada Jun.

Beliau berkata, pada waktu ini, penggunaan rokok elektronik masih dikawal selia di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

Kenyataan dikeluarkan Dzulkefly itu ternyata mendapat reaksi yang agak sinis daripada warganet yang dilihat skeptikal berhubung keupayaan kerajaan untuk menguatkuasakan langkah tersebut.

Malah, rata-rata daripada mereka turut mempersoalkan mengenai keseriusan kerajaan untuk menangani isu penggunaan vape termasuk dalam kalangan pelajar sekolah yang disifatkan berada di tahap membimbangkan.

photo1718084320

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Kalau betul-betul nak buat, boleh dapatkan data dengan guru di sekolah, berapa banyak vape dirampas dari murid. Negara ini macam sudah tiada undang-undang dan penguatkuasa," tulis Syed Muhammad Rezza.

"Kedai mamak pun tak berani tegur pelanggan yang merokok, inikan pula vape," ujar Syed Qusoiri.

"Orang vape dan merokok bersepah-sepah walau dekat tempat awam. Jangan kata tepi kaki lima, premis kedai makan pun ada. Kedai jual vape, rokok dan tembakau beroperasi macam biasa sahaja sebab tiada tindakan serius," kata Mah Na.

Kebimbangan mengenai keberkesanan penguatkuasaan itu turut dikongsikan oleh pakar perubatan yang menyifatkan bahawa langkah tersebut mungkin hanya akan menjadi sekadar seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Menerusi laporan portal berita FMT, bekas presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, berkata pengumuman pelaksanaan akta itu dilihat terlalu umum tanpa pelan dan penilaian sewajarnya.

Katanya, penggunaan rokok elektronik ketika ini juga sudah menjadi budaya membimbangkan dalam kalangan remaja di seluruh negara.

Mengulas mengenai cadangan untuk mengharamkan vape, Dzulkefly pada Ahad berkata, perkara itu boleh disemak dan dipinda sekiranya perlu demi kesihatan awam.

Students vaping outside the schools, can see the vape shop nearby schools, this is posing pictures of students vaping. — FAIHAN GHANI/The Star.

Penggunaan vape dalam kalangan remaja kini dilihat sudah berada di tahap membimbangkan. — Gambar hiasan

Jelasnya, sebarang cadangan lain akan dipertimbangkan mengikut tatacara sedia ada dan harus dibahaskan dalam ruang demokrasi yang matang.

Rang Undang-Undang (RUU) antimerokok yang berada di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) diluluskan di Dewan Negara pada Disember tahun lepas dan diwartakan Februari lalu.

Akta itu antara lain akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur.

Ia dilakukan menerusi peruntukan melarang penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta menyediakan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak di bawah umur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram