KIRA-KIRA 26,000 kematian rakyat Malaysia direkodkan setiap tahun berkaitan dengan merokok.
Memetik laporan BuletinTV3, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tabiat merokok menyumbang kepada beberapa penyakit kronik.
“Apa yang dikatakan ‘Tobacco Related Disease’ termasuk kardiovaskular, serangan jantung, strok dan itu tidak termasuk lagi dalam hal yang berkait dengan kanser terkait dengan rokok," katanya.
BACA LAGI: Strok kerap serang golongan muda, doktor kongsi pengalaman tangani kes budak usia 5 tahun
BACA LAGI: Malas gosok gigi? Doktor dedah kuman boleh ikut darah, 'melekat' di jantung
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Hari Tanpa Tembakau di Kuala Lumpur pada Ahad.
Tambahnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 juga mendapati penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat hampir 15 peratus pada 2022 berbanding 9.8 peratus pada tahun 2017.
“Ini mustahak atau ‘wake-up call’ yang mana rokok menurun, tapi vape naik,” katanya.
Beliau berkata, faktor tarikan antara punca kanak-kanak dan remaja tertarik kepada rokok elektronik atau vape selain promosi berleluasa tanpa kawalan di media sosial.
“Saya tekankan segera pelaksanaan kawalan dan sebagainya. Justeru Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diwartakan pada Februari lalu,” katanya.
Dzulkefly berkata, bagaimanapun, perintah pelaksanaan Akta 852 itu belum dilaksanakan serta dijangka dibuat pada tahun ini.
“Justeru bagi yang tidak merokok, jangan mulakan. Bagi yang merokok pula, dapatkan perkhidmatan di fasiliti KKM dan sebagainya bagi menghentikan tabiat tersebut,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram