Ada syarikat ambil kesempatan, dakwa tingkatkan harga jualan bukan sebab kadar diesel naik


Pembekal barangan konkrit dan simen antara syarikat yang dipercayai menaikkan harga barangan mereka susulan kenaikan harga diesel.

LONJAKAN harga diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 di seluruh Semenanjung bermula Isnin menyebabkan ada segelintir pemilik perniagaan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan meskipun tiada keperluan mereka berbuat demikian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perubahan harga diesel tanpa subsidi sama ada akan berlaku atau tidak hanya akan diumumkan setiap Rabu, seperti kebiasaannya.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting itu akan memastikan lebih banyak sumber dapat disalurkan ke dalam sektor kritikal lain, seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan generasi akan datang.

BACA LAGI: Subsidi diesel: Kumpulan pertama Budi Madani terima bayaran 10 Jun

BACA LAGI: Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga

Berdasarkan tinjauan hantaran di media sosial, di sebalik pengumuman baharu itu, ada syarikat yang dipercayai mengambil kesempatan dengan menaikkan harga perkhidmatan masing-masing.

Ia termasuk perniagaan melibatkan pembekal barangan konkrit dan simen, barangan perkakas, syarikat pengangkutan, syarikat tunda kereta, pengilang makanan dan kedai kopi.

Beberapa perkongsian memaparkan notis kenaikan tersebut juga tular hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Antara syarikat yang terlibat termasuk sebuah syarikat menawarkan perkhidmatan tunda kenderaan yang memberitahu bahawa tiada subsidi diperuntukkan kepada trak penunda.

WhatsApp Image 2024-06-11 at 19.59.57

Tangkap layar memaparkan notis kenaikan harga beberapa syarikat yang tular di media sosial.

Sementara itu, sebuah syarikat barangan logam turut mengeluarkan notis memaklumkan pengguna mengenai 25 peratus kenaikan ‘caj trak’ berkuat kuasa, Isnin.

“Selepas semakan mendalam peningkatan kos pengangkutan kami, perkapalan dan produk, kami perlu mengambil keputusan sukar menaikkan harga bagi semua barangan. Caj pengangkutan juga akan disemak,” katanya menerusi satu notis.

Antara yang mendapat perhatian dan menjadi perbualan hangat adalah notis kenaikan harga barangan syarikat pengilang makanan yang terkemuka di Malaysia, bermula 10 Jun 2024.

Sebagai salah sebuah syarikat pembekal yang dikhususkan dalam pembuatan produk makanan termasuk sos dan rempah dan sering digunakan rakyat Malaysia, tidak hairanlah kenaikan harga barangan tersebut dikhuatiri bakal memberi impak besar terhadap masyarakat khususnya pengguna tegar jenama berkenaan.

Amir Hamzah (kiri) ketika sidang media di Putrajaya pada Ahad.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar yang tular pada Selasa, notis tersebut menunjukkan bahawa surat itu dikeluarkan pada tarikh 10 Mei 2024, iaitu sebelum pengumuman kenaikan harga terbaharu diesel dibuat.

Justeru, kesahihan sama ada harga barang jenama tersebut sememangnya naik disebabkan tindakan kerajaan menaikkan harga diesel kepada RM3.35 atau sebaliknya, belum dapat dipastikan.

Selain itu, sebuah syarikat kopi turut memaklumkan kenaikan harga minuman mereka atas faktor kenaikan kos semasa.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan, peningkatan harga tersebut bukan berlaku disebabkan kenaikan harga terkini diesel.

"Kos bahan mentah semasa kami yang dah lama naik seperti susu, cawan plastik dan yang terbaharu biji kopi dinaikkan harga oleh pihak pembekal kami.

"Pihak ibu pejabat telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga jualan, namun atas faktor kenaikan kos semasa, kami terpaksa melakukan perubahan harga jualan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram