[VIDEO] Sita dan kompaun tak cukup, perkenal undang-undang baharu termasuk sebat hukum peniaga warga asing


  • Massa
  • Selasa, 11 Jun 2024

Rosli mengakui pelbagai serbuan sudah dilaksanakan pihak berkuasa, namun isu itu masih sahaja belum berjaya diselesaikan, mahupun dikurangkan.

KERAJAAN digesa untuk mewujudkan undang-undang baharu yang lebih tegas sebagai langkah menoktahkan isu lambakan peniaga warga asing di negara ini.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman menegaskan, hukuman sebatan antara cadangan yang seharusnya dipertimbangkan pembuat dasar bagi memelihara kepentingan peniaga tempatan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, hukuman itu sebenarnya pernah disuarakan kepada pihak berkaitan selama bertahun-tahun, namun masih belum ada usaha ke arah pelaksanaannya sehingga kini.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan Dhaka, warga Bangladesh selamba meniaga sirih tepi jalan siap pasak khemah di 2 lokasi panas di Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela

sirih

Di sekitar bahu jalan Jalan Silang masih sahaja dipenuhi peniaga yang menjual makanan seperti sirih.

"Saya pernah mencadangkan mana-mana pendatang asing atau pelancong yang datang ke negara ini hanya boleh melancong dan berbelanja di Malaysia, bukannya bawa duit untuk meniaga.

"Saya syorkan apabila mereka ditangkap, bagi hukuman berat seperti sebat untuk beri pengajaran kepada mereka.

"Kalau sebat, mereka mesti takut, jadi jika ia dapat dilaksanakan, sedikit sebanyak dapat membanteras warga asing agar tidak sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai isu peniaga warga asing di sekitar kaki lima Jalan Silang dan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur, Rosli mengakui pelbagai serbuan sudah dilaksanakan pihak berkuasa, namun isu itu masih sahaja belum berjaya diselesaikan, mahupun dikurangkan.

Beliau menjelaskan, satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman juga pernah menggempur Jalan Silang, sarang warga asing yang turut digelar Mini Dhaka pada tahun lalu.

WhatsApp Image 2024-06-11 at 16.58.24

Rosli Sulaiman

Bagaimanapun katanya, tindakan itu gagal menyekat kebanjiran golongan tersebut, buktinya mereka masih menjalankan aktiviti perniagaan dengan bebas.

Justeru, satu usaha sama perlu diwujudkan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kementerian yang berkaitan.

"Sebagai contoh, JIM sepatutnya mainkan peranan sepenuhnya bagaimana kita boleh menghalang atau menangkap mereka supaya tidak melakukan perniagaan berterusan sehingga hari ini.

"Jika lihat negara luar, orang luar tidak boleh berniaga. Tidak perlu jauh, lihat sahaja di Thailand dan Indonesia, kita tidak boleh berniaga kerana undang-undang di sana ketat," jelas beliau.

Menurutnya, kerajaan juga disarankan untuk memberi kuasa sepenuhnya kepada pihak penguat kuasa untuk mengheret peniaga warga asing yang ditangkap berniaga secara haram ke balai polis.

"Jika kita tidak tangani isu ini, ia tidak akan berkesudahan sampai bila-bila," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram