[VIDEO] 'Masih sempat naik flight', ramai doa Arif Aiman segera ke pangkuan Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Ketiadaan Arif Aiman untuk kedua-dua aksi Harimau Malaya sudah tentu amat dirindui. — Facebook/FAM

DALAM dua perlawanan Liga Super setakat ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah menampilkan persembahan cukup baik dengan mereka kini berada di tangga teratas.

Bagaimanapun, penyokong seakan-akan kurang berpuas hati dengan ketajaman jentera serangan meskipun mereka sudah menjaringkan 11 gol, termasuk tiga yang dihadiahkan berikutan keputusan Selangor FC menarik diri.

Ini kerana rata-rata daripada mereka merindui kelibat Pemain Paling Bernilai musim lalu, Arif Aiman Hanapi yang masih belum merekodkan sebarang penampilan musim ini.

BACA LAGI: Tak dipanggil Kim Pan-gon, Arif Aiman 'terbang tinggi' tercalon Pemain Muda Terbaik Asia

BACA LAGI: Import 'ghaib' muncul kembali, disyor ganti Arif Aiman buat sementara waktu

Menurut laporan media, pemain berusia 22 tahun tersebut mengalami kecederaan hamstring yang menyekatnya daripada diturunkan setakat ini.

Namun, dalam perkembangan baharu, peminat setia skuad Harimau Selatan sudah mampu tersenyum selepas penyerang sayap terbabit sudah kembali ke padang latihan.

Dalam satu video dimuat di laman media sosial JDT, Arif kelihatan sedang menjalani proses rehabilitasi dengan pemerhatian seorang staf kejurulatihan kelab.

Perkongsian itu sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa pemain berkenaan sudah bersedia untuk diturunkan bagi aksi Piala FA menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 15 Jun di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Tetapi, sebahagian penyokong lain mempunyai pandangan berbeza apabila mereka beranggapan anak jati Kuantan, Pahang berkenaan sudah menunjukkan tanda bahawa dia bersedia untuk diturunkan dalam skuad kebangsaan.

Meskipun Harimau Malaya sudah berlepas ke Kyrgyzstan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, ada yang melihat Arif masih sempat dikejarkan ke negara Asia Tengah itu.

447674842_1027552235407419_3914363961685683829_n

Arif Aiman masih belum diturunkan dalam saingan Liga Super setakat ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Perlawanan seterusnya antara skuad kebangsaan dengan Taiwan, harapnya Arif boleh beraksi," kata Spo Wan.

"Sempat lagi ni untuk berada dalam pasukan Harimau Malaya. Sudahlah hampir kesemua bahagian serangan sedang cedera," kata Zahiruddin Juatin.

"Terbaik, sempat tak sertai Harimau Malaya di laman sendiri nanti? Perlawanan pun sudah semakin hampir," kata Fazrina Mohamad Sani.

Selepas aksi menentang Krygyzstan di tempat lawan pada Khamis, skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Jun.

Kedua-dua perlawanan berkenaan boleh dikatakan cukup penting dalam misi negara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia atau sekurang-kurangnya menempah slot ke Piala Asia buat dua edisi berturut-turut.

Namun, ketiadaan beberapa tonggak, termasuk Arif Aiman membuatkan penyokong Harimau Malaya sedikit gusar akan peluang untuk aksi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram