KELIBAT pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Nicolao Dumitru di padang latihan Harimau Selatan seolah-olah sudah menjawab khabar angin mengenai statusnya bersama kelab itu sebelum ini.
Sebelum ini heboh dalam kalangan penyokong mengenai status Dumitru selepas ada penyokong mengesyaki bahawa pemain yang pernah bersama Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017 itu sudah dipinjamkan ke pasukan lain.
Ramai penyokong membuat andaian bahawa Dumitru dipinjamkan ke kelab Liga Thailand selain andaian bahawa pemain yang pernah beraksi bersama Buriram United itu turut menarik minat pasukan Liga 1 Indonesia.
BACA LAGI: 'Work in progress', Arif Aiman beri 'hint' semakin pulih, bakal kembali lepas cuti FIFA
BACA LAGI: Sedih menang dengan cara begini — TMJ
Spekulasi melibatkan pemain itu bermula apabila kelibatnya tidak kelihatan dalam foto skuad Harimau Selatan bersama Tunku Mahkota Ismail di Stadium Sultan Ibrahim di laman sosial rasmi kelab, dengan kapsyen 'Kami di sini! Piala nombor 27' pada 10 Mei lalu.
Nampaknya, khabar angin berkenaan sudah menemui jawapan sebenar apabila pemain berusia 32 tahun itu dilihat sudah gigih berlatih bersama para pemain Harimau Selatan lain sebagai persiapan saingan Liga Super.
Kehadiran pemain campuran Itali-Romania berkenaan di sesi latihan Harimau Selatan pastinya membawa misi peribadi dan salah satunya untuk membuat debut bersama JDT dalam masa terdekat ini.
Penyokong juga pastinya berharap dan teruja untuk menyaksikan skil penyerang sayap kiri berkenaan sehingga ada yang mencadangkan agar Dumitru mengisi posisi Arif Aiman Hanapi sementara menunggu pemain itu pulih daripada kecederaan.
Arif Aiman dilihat sedang gigih melakukan latihan sendiri demi mengembalikan kecergasannya.
“Mungkin Dumitru boleh ganti Arif Aiman sebab dia boleh main peranan sebagai penyerang sayap,” kata penyokong Harimau Selatan, Luaskan Kuasamu JDT FC.
“Alhamdulillah ada lagi dia ini, tak betul pun khabar angin nak jual,” bagi penyokong JDT Zainuddin Ibrahim.
Untuk rekod, perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan JDT menang 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor kelihatan tonggak muda itu hanya memanaskan bangku simpanan dan tidak tersenarai dalam senarai pemain.
Manakala, kunjungan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pula menyaksikan bayang pemain berusia 22 tahun berkenaan langsung tidak kelihatan dalam perlawanan yang menyaksikan JDT menang 4-1 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram