Tak dipanggil Kim Pan-gon, Arif Aiman 'terbang tinggi' tercalon Pemain Muda Terbaik Asia


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Arif dicalonkan AFC kerana menunjukkan impak positif bersama JDT di peringkat kumpulan.

PEMAIN sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi bualan penyokong sekitar Asia walaupun tidak dipanggil Kim Pan-gon untuk menyertai kem kebangsaan kerana mengalami kecederaan.

Arif Aiman kembali menjadi sebutan Asia kerana nama pemain berusia 22 tahun itu tersenarai dalam bintang muda yang layak diangkat sebagai Bintang Masa Depan NEOM Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Selain Arif Aiman, Ali Jasim (Air Force Club), Faisal Al Ghamdi (Al-Ittihad), Zafarmurod Abdirakhmatov (FC Nasaf), Kim Jeong-hoo (Jeonbuk Hyundai Motors) dan Asahi Uenaka (Yokohama F. Marinos) turut tersenarai.

BACA LAGI: [VIDEO] Dulu benci sekarang sayang, aksi Saddil Ramdani gelecek 5 pertahanan 'trigger' fans Indonesia

BACA LAGI: Pan-gon nampak aspek teknikal, taktikal yang diperlukan daripada saya — Syafiq Ahmad

Nama Arif Aiman dicalonkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana menunjukkan impak positif bersama JDT di peringkat kumpulan.

Dua gol yang disumbangkan Arif Aiman untuk JDT apabila menewaskan kelab Thai League 1, BG Pathum United 4-2 di peringkat kumpulan memainkan peranan besar supaya namanya terpilih untuk tercalon dalam anugerah itu.

Meskipun Harimau Selatan gagal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik, skil, gelecekan bola dan penyudah tajam yang dimiliki pemain sayap JDT itu memikat hati penyokong.

Peminat bola sepak negara masih berpeluang untuk mengundi Arif sebagai Bintang Masa Depan NEOM ACL.

Ini kerana undian masih berlangsung sehingga pukul 10.00 malam Jumaat.

Setakat pukul 3 petang, Arif berada di tangga ketiga dengan 13 peratus (%).

Manakala Al-Ghamdi dan Jasim berada di tangga pertama dan kedua undian selepas masing-masing menerima 44% dan 36%. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram