Beri ucapan sambutan Pesta Kaamatan, ramai syak admin Juventus minat Sumandak Sabah


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Evanatie Sannie (kanan) merupakan finalis pertandingan ratu cantik Sabah, Unduk Ngadau Kaamatan 2022 dan antara contoh wanita sinonim dengan jolokan 'Sumandak Sabah'.

PESTA Kaamatan atau Pesta Menuai yang disambut pada 30 Mei setiap tahun antara perayaan ditunggu-tunggu oleh rakyat di negeri Sabah terutama bagi suku kaum Kadazan-Dusun.

Perayaan dikenali sebagai Tadau Kaamatan itu merupakan pesta tradisi sejak turun temurun bagi sbagi menghormati 'Bambazon' iaitu menghormati 'Semangat Padi' dan mula diadakan di Sabah pada tahun 1960.

Walaupun perayaan berkenaan kebanyakannya disambut oleh Kadazan-Dusun namun kini ia turut disambut dengan penuh meriah oleh semua etnik lain di Sabah dan termasuklah masyarakat di negeri lain.

BACA LAGI: 'Dia ada apa JDT perlukan', import baharu Harimau Selatan dilabel pengganti Leandro

BACA LAGI: JDT mungkin kempunan lagi, 2 kelab Eropah berebut khidmat Dion Cools

Menarik mengenai Pesta Kaamatan kali ini apabila ia turut mendapat perhatian daripada kelab gergasi Itali iaitu Juventus selepas pasukan yang bersaing di Serie A itu memberi ucapan sambutan perayaan berkenaan.

"Kotobian Tadah Tagazo Do Kaamatan (Selamat menyambut Hari Kaamatan) Selamat Menyambut Pesta Kaamatan buat penyokong Juventus yang berbangsa Kadazan Dusun dan seluruh rakyat Malaysia," kata kelab berkenaan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pada Khamis.

Ucapan dari admin Juventus itu jelas membawa kegembiraan kepada penyokong mereka yang menyambutnya kerana ia boleh disifatkan sebagai bentuk penghargaan selepas tidak putus-putus memberi sokongan kepada skuad Le Zebre.

Tidak kurang juga ada penyokong yang bergurau bahawa admin kelab yang merangkul kejuaraan 36 kali Serie A itu meminati wanita Sabah sehingga sudi untuk memuat naik ucapan Pesta Kaamatan.

WhatsApp Image 2024-05-30 at 17.47.50

Tangkap layar ucapan Pesta Kaamatan dari Juventus.

"Perghhh ada kakitangan Dusun mungkin di sana atau minat sumandak (gadis) Sabah," kata penyokong bola sepak tanah air, Jebronnie Mathews.

"Wow biar betul Juventus ucapan Selamat Kaamatan... hebat," kata penyokong tanah air, Clifford Jefeery yang sukar untuk mempercayai ucapan berkenaan dimuat naik oleh Juventus.

Sebelum ini, Juventus juga menarik perhatian warganet Malaysia apabila kelab berkenaan menggunakan lagu Alamak Raya iaitu nyanyian kumpulan penyanyi wanita ternama, De Fam untuk salah satu kandungan Tik Tok mereka.

Video tersebut memaparkan pemain-pemain kelab tersebut menari sejurus menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan berbeza dengan menggunakan hashtag Juventus Malaysia serta kosong-kosong, yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram