SEPERTI bukan kebiasaan buat Harimau Malaya apabila dikhabarkan hanya menguji pasukan Liga Super sebagai persediaan sebelum dua perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun ini.
Harimau Malaya dijadualkan bakal beradu kekuatan dengan Kyrgyzstan pada 6 Jun di tempat lawan sebelum melayan kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Berdasarkan laporan Harian Metro, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengatur aksi persahabatan dengan pasukan negara lain kerana masih berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
BACA LAGI: Zhafri Yahya ganti Syafiq Ahmad tercedera, ramai sangka sepatutnya Sumareh, Aguero atau Wan Zack
BACA LAGI: Komen jutawan bukti Vida serius mahu beli Kelantan dari Zamsaham
Keadaan berkenaan memaksa skuad kendalian Kim Pan-gon untuk hanya mengadakan perlawanan persahabatan dalam negara menentang kelab tanah air sebagai salah satu alternatif aksi pemanas badan mereka.
Melihat kepada persiapan negara berkenaan, wajar untuk melihat ada sesetengah penyokong mengkritik persediaan badan induk berkenaan dalam menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun ini.
Namun, tidak kurang juga ada yang terpaksa akur dengan situasi semasa dan mereka turut memetik dua nama pasukan dianggap lawan sesuai untuk mempersiapkan Harimau Makaya bagi tugasan penting itu.
Berdasarkan carta kedudukan Liga Super dan prestasi para pemain, nama dua kelab gergasi tanah air iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) disebut sesuai untuk menjadi lawan pemanas badan Harimau Malaya.
Harimau Selatan dilihat kelab sesuai untuk menjadi lawan pemanas badan Harimau Malaya. — Facebook/JDT
"Lawan JDT dan Terengganu. Sabah pun boleh juga atau Selangor," cadang penyokong domestik, Lukman Nul Hakim.
"Buat macam ini lah, ambil Selangor, Johor, Terengganu, Kedah, PDRM, Sabah, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain. Buat satu pasukan," bagi penyokong tanah air, Muhammad Fizuan Halim.
"Kekangan masa, bukan hari ini baru dapat kalendar FIFA. Maksudnya, FAM tidak buat kerja dengan betul," komen penyokong, Mizi Anis yang mempersoalkan gerak kerja badan induk tersebut.
Walaupun hanya menentang kelab domestik, namun perlawanan persahabatan berkenanan sedikit sebanyak dapat menguji keserasian para pemain baharu yang mendapat panggilan kali ini.
Pan-gon telah mengekalkan sebanyak 16 daripada 24 pemain dari skuad sebelum ini yang beraksi menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.
Namun, tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan. Terbaharu, Syafiq Ahmad juga digugurkan dan digantikan dengan pemain tengah Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya.
Pemain baharu yang tersenarai ialah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC) dan Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (JDT), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram