MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC'


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Penyokong mahu MFL segera buat keputusan tentang hukuman Selangor supaya dapat menepis persepsi negatif orang ramai.

PENANTIAN Selangor FC berhubung hukuman daripada badan penganjur Liga Super, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagai tiada penghujung selepas MFL masih memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan denda yang akan dikenakan kepada skuad Gergasi Merah itu.

Skuad bimbingan Nidzam Jamil itu dikhabarkan akan menerima hukuman daripada MFL susulan penarikan diri pasukan itu dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Meskipun Selangor mempunyai alasan besar untuk menarik diri daripada perlawanan itu kerana insiden berlaku terhadap pemain mereka, Muhammad Faisal Abdul Halim.

BACA LAGI: Faisal Halim jalani pemulihan di lokasi rahsia atas faktor keselamatan

BACA LAGI: Reziq Bani Hani, Saddil Ramdani antara 4 bintang tumpuan bakal tunjuk belang di Indonesia

Penyokong meminta MFL tidak terus berteka-teki mengenai hukuman kepada Gergasi Merah.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli turut berpendapat, MFL wajar memberikan kata putus mengenai hukuman Selangor agar tidak mengganggu perjalanan Liga Super musim ini.

"Kita minta supaya benda ini tidak menjadi isu dan diselesaikan dengan segera, kalau nak ada hukuman benda ini diputuskan segera supaya tidak mengganggu tumpuan pasukan Selangor dan pasukan-pasukan lain.

"Ia juga memberikan satu tanda soal kepada peminat terutamanya penyokong Selangor.

"Kalau nak hukum, hukuman yang macam mana dan jangan dibiarkan lama sangat takut ia mengganggu rentak dan semangat Selangor, kalau boleh selesaikan segera supaya semua dapat memberikan tumpuan kepada perjalanan liga.

"Ini seolah-olah ada benda yang masih belum selesai terutamanya dengan pasukan Selangor.

"Mereka (Selangor) perlu memberikan tumpuan dalam penyertaan mereka di slot Asia (AFC)," katanya kepada Majoriti.

Dr Pekan Ramli

Datuk Dr Pekan Ramli.

Tambahnya lagi, keputusan perlu disegerakan agar dapat menolak segala persepsi negatif terhadap MFL yang semakin hilang mendapat kepercayaan daripada penyokong bola sepak.

"Kita tak nak banyak persepsi-persepsi negatif, esok bila perlawanan membabitkan pasukan Selangor nampak begitu konsisten menang dan waktu itu hukuman baru nak dikenakan nanti orang (penyokong) bagi persepsi negatif, orang bagi komen negatif lagi.

"Oh ini ada gangguan, saja nak merosakkan rentak Selangor' dan sebagainya, jadi elok kalau boleh selesaikan isu ini.

"Kalau ada hukuman ada, kalau tak ada hukuman tak ada! Supaya melegakan semua orang,

"Melegakan pasukan Selangor dan penyokong sekali gus dapat menepis segala komen dan pandangan negatif.

"Kita pun tak seronok bola sepak Malaysia ini terlalu banyak sangat perkara-perkara yang tidak baik yang selalu membangkitkan aura negatif ini.

"Jadi benda ini perlu diselesaikan dan tak boleh senyap sahaja apa kesudahannya, saya rasa penyokong-penyokong akan bertanya," jelasnya.

Faisal Halim

Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Sebelum ini, Selangor telah membuat permohonan kepada MFL untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden Faisal yang disimbah asid selain ugutan diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira insiden tersebut selain ancaman yang berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan itu.

Tindakan Selangor menarik diri itu bakal mengundang hukuman dan badan pengelola liga itu akan membawa isu penarikan diri ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram