Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi antara 4 kes ajaran sesat cuba menular di Malaysia


  • 112
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Kes ajaran sesat kian menular ke negara ini sejak tahun lalu. — Gambar hiasan

KES ajaran sesat di Malaysia kian meruncing dengan beberapa individu didakwa cuba memperdaya dan menyebarkan fahaman terpesong secara meluas sejak kebelakangan ini.

Bermotifkan kepercayaan syirik, kes individu cuba mengaku sebagai penyampai wahyu ataupun tuhan 'semesta alam' acap kali memenuhi akhbar harian dengan hal itu semakin gagal dibendung pihak berkuasa.

Terbaharu, polis sedang menyiasat seorang wanita yang mendakwa dirinya Imam Mahdi selepas dakwaan itu tular di laman media sejak Rabu.

BACA LAGI: Mengaku Imam al-Mahdi, Pahang pantau ajaran sesat 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya'

BACA LAGI: Lapan pengikut ajaran The Ahmadi terlibat perhimpunan LGBT dilepaskan dengan ikat jamin

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, siasatan giat dilakukan terhadap suspek yang difahamkan bertugas di sebuah sekolah rendah dekat Jerantut, Pahang.

Untuk rekod, berikut merupakan tiga lagi senarai kes melibatkan individu yang didakwa menyebar ajaran sesat dalam negara sebelum ini.

habi

1. Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi

Pengusaha tempe didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina agama Islam dengan cara mengaku sebagai Imam Mahdi pada 21 Februari tahun lalu.

Tertuduh yang merupakan pemimpin Tarekat Al-Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, disifatkan menghina agama Islam dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi sedangkan ia adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan antara Januari hingga Mac 2022 di markas tarekatnya dekat Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa di Seremban.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 (i) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

asmaul

2. Bekas pensyarah sebar ajaran 'Asmaul Husna'

Mengaku bahawa dirinya sebagai 'Jurutaip ALLAH', dan mendakwa roh manusia sebahagian daripada 'Zat ALLAH' merupakan antara ajaran sesat disebarkan seorang bekas pensyarah wanita di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 28 Februari tahun lalu.

Tertuduh, Wan Maseri Wan Mohd, 59, bersama 17 pengikutnya ditahan di kediamannya di Johol, Kuala Pilah ketika sedang menyampaikan 'kuliah'.

Kesemua yang ditahan merupakan wanita berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun yang kebanyakannya merupakan suri rumah dan tinggal di kawasan luar Negeri Sembilan.

maula

3. Lelaki Maghribi mengaku keturunan Nabi Muhammad

Seorang rakyat asing dikenali sebagai Mawla Amin atau nama sebenarnya, Muhammad Amin Ouradji berjaya memperdaya orang ramai selepas mengaku dirinya berasal daripada keturunan Nabi Muhammad.

Mendakwa berasal dari Maghribi, namun kerajaan Maghribi pada Februari lalu menafikan perkara tersebut dan mengesahkan ia sebagai kenyataan palsu.

Pihak berkuasa agama Maghribi juga sama sekali tidak menyokong aktiviti keagamaan atau ajaran dibawa oleh Muhammad Amin.

Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang memantau pergerakan individu berkenaan yang difahamkan sudah meninggalkan negara sejak Februari lalu.

Individu berkenaan sebelum ini didakwa sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram