Sebelum keluar hospital, Borussia Dortmund doa kesembuhan Faisal Halim


  • Podium
  • Selasa, 21 Mei 2024

Ramai pihak yang memberi sokongan kepada Faisal untuk kembali kuat selepas insiden itu. — Facebook/FAM

SELEPAS Manchester United, giliran kelab gergasi Jerman pula iaitu Borussia Dortmund pula mendoakan kesembuhan pemain kebangsaan, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pada Selasa, Dortmund menyeru agar keganasan dalam bola sepak dihentikan dengan pasukan berkenaan juga mengharapkan agar pemain Selangor FC itu cepat sembuh.

"Faisal Halim adalah pemain sayap yang bermain untuk Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia. Dia menjaringkan gol kejohanan dalam Piala Asia AFC baru-baru ini menentang Korea Selatan.

BACA LAGI: Solidariti dengan Faisal tapi Selangor FC masih terkial-kial

BACA LAGI: Polis edar lakaran wajah suspek simbah asid terhadap Faisal Halim

"13 gol dan sembilan bantuan hantaran beliau dalam liga musim lalu melonjakkan Selangor FC ke tempat ke-2 dan mendapat slot dalam pertandingan Asia 2024/25.

"Susulan serangan tersebut, Faisal telah ditempatkan di hospital dan kami seru agar keganasan dalam bola sepak dihentikan. Kami bersama Faisal Halim,” kata kenyataan tersebut.

Dortmund adalah pasukan kedua luar negara selepas Man United berbuat perkara sama. Sebelum ini, dua bintang Manchester United iaitu Andre Onana dan Alejandro Garnacho menunjukkan solidariti mereka buat Faisal.

bvb

Poster yang dikeluarkan oleh Borussia Dortmund.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman X Stadium Astro pada Sabtu, Onana dan Garnacho mendoakan kesembuhan segera buat pemain yang pernah diberikan peluang berlatih di Old Trafford bersama pemain Man United ketika program Mencari Ramli pada suatu ketika dahulu.

Perkembangan terbaharu mengenai Faisal adalah pemain sayap berkenaan dijangka mempunyai harapan untuk keluar lebih awal dari hospital selepas mengalami kelecuran tahap empat susulan insiden kes simbah asid menimpa dirinya.

Berita itu dikongsi oleh ketua perubatan Selangor, Dr Mohd Hazwan Khair yang memberitahu bahawa pemain berusia 26 tahun itu melalui prosedur ‘split skin grafting‘ iaitu pembedahan terakhir sebelum dia dibenarkan meninggalkan hospital di Shah Alam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram