Aksi pembuka tirai Liga Super buktikan Sony Norde antara bintang temui cinta baharu, lupakan ‘kekasih lama’


  • Podium
  • Khamis, 16 Mei 2024

Sony (memakai lilitan kapten) memberi hantaran bantuan kepada Syafiq pada perlawanan menentang The Cops. — Facebook/KDAFC

SAINGAN Liga Super hampir memasuki minggu kedua pada Sabtu ini namun perlawanan minggu pertama masih menjadi topik perbualan para penyokong bola sepak domestik lagi-lagi selepas banyak insiden cukup hangat berlaku.

Perlawanan pembuka tirai Liga Super melibatkan 10 pasukan iaitu PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang, Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Terengganu FC (TFC), Perak FC, Sabah FC, Penang FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kuching City FC.

Di Selayang menyaksikan stadium dibanjiri air hujan, perlawanan di Temerloh membabitkan Sri Pahang menentang KDN FC pula memaparkan VAR tidak dapat digunakan dan ada juga insiden layangan kad merah berlaku di Kuala Nerus.

BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024

BACA LAGI: Buru tiket AFC, Nafuzi terus hargai pemain KDA FC

Selain insiden panas berkenaan, momen pemain baharu kelihatan semakin selesa dan serasi bersama pasukan terkini juga mencuri perhatian dengan ada di antara mereka masing-masing sudah mula memberi sumbangan dalam aksi pertama.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan pemain baharu yang dilihat semakin melupakan 'kekasih lama' mereka dengan para penyokong juga semakin menerima kehadiran semua tonggak berkenaan.

1) Danial Amier

daniel amier

Danial (kanan) ketika perlawanan menentang KL City FC. — Facebook/KuchingCity

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Danial Amier menyertai Kuching City secara pinjaman pada awal musim ini bagi membantu dia meraih lebih banyak minit permainan serta meraih seberapa keyakinan untuk kembali menyengat di atas padang.

Peluang dari pengendali skuad The Cats, Aidil Sharin Sahak itu juga digunakan sebaiknya oleh Danial apabila bermain dengan baik dalam 90 minit dalam perlawanan tersebut.

Kelebihan Danial daripada segi ketenangan mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran-hantaran berbahaya menjadikan beliau selaku aset utama buat Kuching City pada masa hadapan.

Ketenangan pemain berusia 27 tahun itu mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran-hantaran membantu Kuching City mengikat skuad Warga Kota dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Ahad.

2) Sony Norde

Pada awalnya, Sony Norde berat hati untuk berpisah dengan skuad Sang Penyu apabila dia mahu kekal bersama Terengganu untuk musim baharu Liga Malaysia ini namun kelab memutuskan untuk melepaskannya.

Selepas berstatus ejen bebas, pemain berusia 34 tahun berkenaan akhirnya dilamar skuad Sang Kenari dan difahamkan Nafuzi Zain selaku jurulatih menjadi antara faktor dia mahu bersama skuad tersebut bagi saingan Liga M 2024-2025.

Perlawanan pertama bersama pasukan Hijau Kuning, pemain lincah itu terus membuktikan bahawa dia merupakan salah satu pembelian berbaloi Kedah apabila tampil membuat satu hantaran bantuan dalam aksi menentang PDRM FC pada Sabtu lalu.

Gol 33 saat Syafiq terhasil melalui gerakan berbahaya dari Sony yang membuka jalan kepada pemain pinjaman Harimau Selatan untuk mudah membenam hantaran silang ke gawang gol skuad The Cops.

3) Richmond Ankrah

richmond

Richmond Ankrah (dua dari kanan) ketika berkunjung ke Likas bersama Penang FC. — Facebook/PenangFC

Tonggak pertahanan Selangor, Richmond Tetteh Ankrah menyumbangkan bakti bersama pasukan Penang FC secara pinjaman bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan dari Utara tanah air itu menjelang saingan Liga Super Malaysia (MFL) 2024/2025, pada Mei nanti.

Pemain dengan ketinggian 190 cm itu dilihat kurang mendapat minit permainan pada saingan liga musim lepas selepas menandatangani kontrak dari Accra Lions FC dua tahun lalu.

Walaupun bertaraf pemain pinjaman, Richmond Ankrah bermain mati-matian untuk Harimau Kumbang dan ia terbukti apabila pemain Sabah FC gagal memecah benteng pertahanan Penang FC untuk mencipta sebarang jaringan pada aksi pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

Persembahan Ankrah berjaya mencuri hati penyokong Penang, tidak mustahil kalau dia akan diminta untuk menjadi pemain tetap untuk Harimau Kumbang pada musim seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram