SETAKAT dua perlawanan Liga Super, Kelantan Darul Naim (KDN) sudah membuktikan bahawa mereka bersedia untuk bersaing lebih baik berbanding musim lalu.
Meskipun tewas dalam kedua-dua pertembungan, kekalahan dialami masih boleh diterima memandangkan lawan dihadapi, iaitu Sri Pahang FC dan Sabah FC memiliki kualiti cukup berbeza berbanding skuad Kijang Emas itu.
Selain itu, kesungguhan dipamerkan sepanjang perlawanan itu membuktikan kelab Pantai Timur berkenaan bercita-cita besar untuk berada di kedudukan lebih baik berbanding dalam kempen Liga Super 2023.
BACA LAGI: Isu teknikal VAR di Stadium Bandaraya mungkin punca gol Manuel Ott tidak disahkan
BACA LAGI: [VIDEO] Selamba buat Heberty 'cium rumput', import skuad Jang dialu-alukan ke skuad Harimau Selatan
Skuad Kijang Emas menampilkan aksi cukup baik setakat ini. — Facebook/KDN FC
Bagaimanapun, pihak pengurusan masih perlu cakna akan pelbagai aspek di sebalik tabir, terutamanya kewangan memandangkan pasukan terbabit terkesan dengan isu tunggakan gaji tahun lalu.
Penaja lebih kukuh diperlukan sekiranya KDN FC bercita-cita untuk memberi tentangan lebih hebat sepanjang musim, terutamanya dalam misi membawa masuk import berkualiti pada jendela perpindahan kedua.
Namun, kegusaran tersebut seakan-akan tidak berpanjangan apabila bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa seperti berminat untuk memberi suntikan dana buat pasukan.
Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, bekas Ahli Parlimen Ketereh berkenaan kelihatan menyarung jersi 'away' skuad Kijang Emas, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.
Tawaran itu menerima respons cukup baik daripada penyokong pasukan yang teruja sekiranya Annuar dapat menjadi watak utama pasukan selepas pernah membantu Kelantan FA mencengkam arena bola sepak tempatan.
Annuar berkongsi tiga keping swafoto memaparkannya menyarung jersi KDN FC. — Facebook/Annuar Musa
"Kami berdoa agar Tan Sri akan bersama dengan kami semua agar bola sepak Kelantan kembali maju," komen Amri Arif.
"Harapan buat Tan Sri, buatlah bola sepak Kelantan kembali ketika era 2010 sehingga 2012. Ingat lagi kenangan beramai-ramai ke Bukit Jalil," kata Mohd Aswadi Takaful.
"Semoga berjaya Tan Sri, berilah sedikit sumbangan kepada pasukan Kelantan ini," kata Anuar Zakaria Pokya.
Sebelum ini, Annuar pernah memberikan bayangan untuk menjadi salah seorang watak dalam pengurusan KDN FC selepas pernah melakukan pertemuan dengan wakil kelab.
Bagaimanapun, sehingga kini, dia masih tidak terlibat dengan pasukan berkenaan, sekali gus membuatkannya kembali melibatkan diri dengan dunia politik.
Namun, terdapat kemungkinan anak jati Bachok, Kelantan tersebut akan kembali berminat dengan dunia bola sepak, lebih-lebih lagi selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDN FC, Datuk Zamri Ismail melepaskan jawatannya baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram