‘True finisher’, Jordi Amat, Adam Nor Azlin tersenarai 4 bek kental cipta nama lebih awal di Liga Super 2024


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Adam berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama Sri Pahang ketika membantu skuad kendalian Fandi Ahmad bangkit daripada ketinggalan pada Ahad lalu.

LIGA Super sudah memasuki minggu kedua (LS2) dengan 19 jaringan dihasilkan dalam perlawanan yang menyaksikan Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT), PDRM FC dan Sabah FC berjaya mengutip tiga mata penuh.

Minggu kedua juga menyaksikan JDT kekal sebagai pendahulu liga selepas berjaya mengutip enam mata penuh diikuti Terengganu, Sabah dan Sri Pahang FC sebanyak empat mata.

Namun apa yang lebih menarik, liga musim ini gol-gol di awal musim sudahpun dijaringkan oleh pemain pertahanan sekali gus mencalar reputasi penyerang yang masih gagal meledak sebarang jaringan.

BACA LAGI: ‘Posisi emas Safawi Rasid bukan lagi right wing, sudah tiba masa naik pangkat sebaris legenda no.10’

BACA LAGI: ‘Bukan tidak bagus cadangan MFL tambah VAR, tetapi perlu fokus mutu pengadilan’

Dengan ini Majoriti senaraikan empat pemain pertahanan yang sudah menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal Liga Super:

1. Jordi Amat (Johor Darul Ta'zim)

Mungkin penyokong tempatan tidak terkejut untuk mendengar nama Jordi Amat selaku penjaring Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana ketinggian fizikal yang dimiliki pemain berusia 32 tahun itu.

Jordi yang juga merupakan kapten JDT berjaya menjaringkan satu gol menerusi tandukan sepakan penjuru ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu lalu (18 Mei).

Matthew Davies berjaya menanduk bola ke arah Jordi selepas mendapat hantaran daripada Juan Muniz untuk menambah jaringan JDT 3-1 sekali gus mengutip tiga mata penuh.

2. Gabriel Peres (Sabah FC)

Mempunyai fizikal dan kelajuan yang baik, Gabriel Peres membuktikan sebab dia kekal beraksi bersama Sabah FC musim ini selepas membantu Sang Badak mengutip tiga mata menetang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Jumaat lalu (17 Mei).

Dalam perlawanan itu, Peres menjaringkan gol selepas menerima hantaran Ko Kwang-min untuk meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-25 permainan.

Sebelum Stuart Wilkin dan Ramon Machado memastikan tiga mata dimiliki oleh Sabah FC sekali gus meletakkan Sang Badak di kelempok tiga terbaik liga dengan empat mata.

3. Kim Ri-gwan (Kelantan Darul Naim FC)

Jika Sabah mempunyai Gabriel Peres, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) juga memiliki pertahanan import yang mampu menghasilkan jaringan.

Pemain itu ialah Kim Ri-gwan yang berasal dari Korea Selatan pada awal musim ini untuk menyertai transformasi penjenamaan semula KDN FC.

Dalam perlawanan menentang Sabah, Ri-gwan turut menyumbangkan satu gol untuk cuba membantu Kelantan bangkit daripada ketinggalan ketika tewas di tangan Sang Badak.

Pada minit ke-55, Ri-gwan berjaya menanduk bola masuk ke gawang lawan selepas mudah memenangi pertarungan udara hasil sepakan penjuru Oday Ali Abdulrahim Kharoub namun gagal membantu Kijang Emas mengutip sebarang mata.

4. Adam Nor Azlin (Sri Pahang FC)

Namanya mungkin sudah dilupai penyokong tempatan, tapi aksinya bersama Sri Pahang ketika mengikat Kuching City pastinya akan menjadi bualan orang ramai.

Manakan tidak, pemain yang sudah lama diperam oleh JDT berjaya bangkit dan menjaringkan gol untuk membantu Sri Pahang daripada ketinggalan pada Ahad lalu (19 Mei).

Adam Nor Azlin telah mencipta nama selaku penjaring untuk membantu Sri Pahang mencuri satu mata ketika berkujung ke Stadium Negeri, Sarawak yang menyaksikan keputusan berakhir dengan 2-2.

Dalam perlawanan menentang Kuching, Adam berjaya membolosi gawang gol tuan rumah pada minit ke-62 selepas menanduk bola masuk hasil hantaran sepakan percuma Manuel Hidalgo.

Ia sekali gus memberikan semangat positif buat Adam untuk terus bangkit beraksi bersama Sri Pahang selepas sekian lama tidak membuat kemunculan bersama JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram