HARGA kos pengambilan lesen memandu kereta (kelas D) yang semakin meningkat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Kenaikan kos ini dianggap membebankan dan menghalang ramai individu daripada mendapatkan lesen memandu, yang merupakan keperluan asas terutamanya bagi penduduk yang tidak mempunyai akses kemudahan awam yang sempurna.
Baru-baru ini, seorang lelaki, @nabilfikran10 telah meluahkan perasaan melalui laman media sosial X (Twitter) miliknya yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran lesen memandu terlalu tinggi.
BACA LAGI : MRECA minta kerajaan cari titik tengah bendung penggunaan vape elak industri terjejas
BACA LAGI : Slip lesen memandu jadi perbalahan netizen, ramai kata langkah mundur tapi ada yang 'back up'
"Siapa yang normalisasi harga lesen memandu sampai RM2,500 lebih?
"Lagi mahal dari gaji minimum! Patut ramai beli lesen atau tak ada lesen langsung," luahnya pada Ahad.
Melalui ciapan yang sama, dia juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat sesuatu bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Saya tidak tahu siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dalam isu ini tetapi @anwaribrahim tolong buat sesuatu," katanya lagi.
Warga maya mencadangkan agar kerajaan dapat menetapkan harga yang sesuai bagi golongan berpendapatan rendah bagi kos pengambilan lesen memandu kelas D. — Gambar Hiasan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mempunyai pendapat yang sama dengan lelaki tersebut.
Seorang pemohon lesen, @AhmadZaki berkata, kos untuk mengambil lesen memandu sekarang sangat tinggi.
"Bagi mereka yang tidak mampu, ini menjadi satu beban besar. Kami memerlukan lesen untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi kos yang tinggi ini menghalang usaha kami," tulisnya.
Sementara itu, @ashrulmdakhir_ mencadangkan agar Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Menterinya, Anthony Loke untuk menetapkan harga yang sesuai bagi golongan berpendapatan rendah
"Tolong tegas semak, turunkan dan tetapkan harga siling belajar lesen yang rendah. Rakyat tidak mahu bantuan berbentuk tajaan atau diskaun.
"Golongan B40 dan M40 mahukan penyelesaian kekal. bincang dengan pemilik-pemilik pusat belajar memandu," tulisnya.
@Kenz_ pula berkata, sudah tiba masa kerajaan masuk campur kerana boleh nampak kenaikan yang mendadak dalam masa beberapa tahun.
"Kenaikan harga lesen memandu merupakan isu kritikal yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
"Dengan kos yang semakin meningkat, ramai individu, terutama dari golongan berpendapatan rendah, menghadapi kesukaran untuk mendapatkan lesen memandu.
"Cadangan aku, mungkin boleh wujudkan subsidi bersasar bagi mereka yang tidak mampu," katanya.
Untuk rekod, kos pengambilan lesen memandu kelas D kini mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000, bergantung kepada lokasi dan sekolah memandu.
Ini merupakan peningkatan ketara berbanding beberapa tahun lepas, di mana kosnya berada dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,200. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram