[VIDEO] Pandu melulu punca remaja tunjuk samseng cedera ditumbuk dua beradik di Klang


  • 112
  • Khamis, 16 Mei 2024

Tangkap layar video tular memaparkan seorang pemandu kereta dipukul selepas didakwa memandu secara melulu di depan sebuah restoran dekat Bandar Bukit Tinggi pada Isnin.

SEORANG remaja lelaki ditumbuk selepas didakwa memandu keretanya secara melulu sehingga hampir melanggar sebuah motosikal di hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi dekat Klang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada mangsa berhubung insiden tersebut.

"Siasatan mendapati, kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu berlaku ketika mangsa memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam didakwa secara melulu masuk ke ruangan parkir di hadapan restoran berkenaan.

BACA LAGI: Buruh ladang maut perut terburai dirodok gading gajah liar di Gua Musang

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan mati, lelaki ditemui terbaring mulut ternganga hanya mabuk — Saksi

"Kenderaan dipandu mangsa didakwa hampir terlanggar sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua-dua mereka.

"Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 19 tahun membuat laporan polis kira-kira pukul 10.48 malam berhubung kejadian terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, keadaan semakin tegang apabila abang kepada penunggang motosikal terbabit tiba di lokasi kejadian.

"Individu terbabit bertindak mencekak baju dan menolak mangsa ke atas bonet kereta sebelum abangnya itu menumbuk beberapa kali di bahagian muka mangsa.

"Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

"Beberapa individu terlibat ketika kejadian telah dirakam keterangan dan kertas siasatan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan rakaman mangsa yang dipukul dua individu selepas didakwa memandu secara melulu sehingga hampir mengakibatkan kemalangan di hadapan sebuah restoran.

Dalam video berdurasi lebih seminit berkenaan memaparkan berlaku pertengkaran mulut diantara mereka dan kejadian menjadi semakin meruncing selepas salah seorang daripada mereka bertindak kasar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram