[VIDEO] 'Bila nak gempur Selangor, Kelantan, Johor?', rakyat tanya KPDN lepas serbuan kedai sorok minyak masak peket di Port Dickson


  • Massa
  • Khamis, 09 Mei 2024

Penguat kuasa KPDN Negeri Sembilan Cawangan Port Dickson pantas bertindak selepas menerima aduan berkenaan sebuah kedai runcit yang dipercayai menyorokkan bekalan minyak peket bersubsidi.

TINDAKAN sebuah premis perniagaan menyorok bekalan minyak peket bersubsidi di dalam stor premisnya terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Cawangan Port Dickson.

Serbuan itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook dan aplikasi TikTok milik beliau pada Khamis.

Fuziah memberitahu bahawa KPDN menerima satu aduan berhubung sebuah kedai runcit yang dipercayai cuba menyorokkan bekalan minyak peket bersubsidi daripada orang ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan licik baiya sorok minyak masak peket buat orang ramai naik darah

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing kantoi rembat minyak peket bersubsidi, sumbat dalam but van di Klang

"Ada lagi kes sorok minyak masak peket? Kes-kes macam ini memang salah dan tak patut jadi, peniaga dan pemilik premis mesti cakna akan undang-undang yang sudah diwartakan.

"Ini nak pesan lagi, walaupun nak guna untuk masak di rumah, sekiranya barang kawalan berada di premis perniagaan, ia wajib dijual kepada pembeli.

"KPDN tetap akan bertindak tegas dengan sebarang penyelewengan dan salah guna yang berlaku. Kita tidak ambil ringan tentang isu serius ini," katanya.

Menurutnya lagi, selepas siasatan dijalankan, pemilik perniagaan tersebut didapati melakukan dua kesalahan besar.

Jelas beliau, bagi kesalahan pertama, peniaga tersebut didapati cuba menyorok barang kawalan dan enggan menjualnya kepada pembeli.

"Kemudian satu lagi kesalahan ialah pemilik tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan minyak masak peket tersebut," jelas beliau.

Menerusi rakaman itu, selepas disoal tentang minyak masak peket, peniaga tersebut mengakui ada menyimpannya di dalam bilik stor.

Ditanya punca dia tidak meletakkan barang itu di depan kedai, lelaki tersebut menyatakan minyak itu adalah untuk kegunaan sendiri.

Anggota penguat kuasa bagaimanapun mempersoalkan tindakannya menyembunyikan maklumat berkenaan barang kawalan tersebut.

WhatsApp Image 2024-05-09 at 14.51.23

Tangkap layar komen orang ramai di TikTok berhubung isu minyak masak peket bersubsidi.

"Semalam awak jual ada, hari ini orang datang (nak beli) awak cakap tiada (tetapi sebenarnya) minyak masak ada saja di sini (dalam stor).

"Minyak masak apabila awak letak di sini (dalam kedai), kita anggap ini untuk dijual, bukan untuk masak sendiri.

"Ini premis perniagaan, kalau awak letak di rumah, itu soal lain. Ini sekarang di dalam premis kedai," tegasnya.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen di TikTok, terdapat segelintir pengguna berharap agar pihak KPDN di negeri lain turut turun padang dan membuat serbuan bagi mengatasi isu kekurangan bekalan minyak masak peket.

"KPDN Selangor senyap saja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, jenis menyorok dengan harga barang melampau melambung..ada ambil tindakan ke kedai Aceh?" soal @zulrestu535 2.

"Bila pula KPDN nak serbu Johor ya? Banyak kedai dan pasar raya tiada minyak peket, ada pun minyak masak botol.

Dari segi harga pun berubah-ubah," kata @hamidmdsalleh.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram