[VIDEO] Warga asing kantoi rembat minyak peket bersubsidi, sumbat dalam but van di Klang


  • Tular
  • Khamis, 14 Sep 2023

Tangkap layar seorang individu warga asing ditahan kerana membeli minyak masak peket dalam kuantiti yang banyak di Taman Sentosa, Klang, Selangor.

KEGIATAN seorang individu dipercayai warga asing yang membeli minyak peket bersubsidi dari sebuah pasar raya dekat Taman Sentosa, Klang, Selangor mengundang kemarahan ramai.

Dalam satu rakaman berdurasi 46 saat yang tular di laman Twitter memaparkan warga asing tersebut ditahan oleh seorang wanita tempatan.

Si pelaku yang memandu sebuah van dilihat menyorokkan beberapa minyak masak peket di bahagian belakang kenderaannya.

Mendakwa hanya membeli enam peket dari premis berkenaan, namun kegiatannya berjaya dihidu dan dibongkarkan oleh individu terbabit.

Perkara itu secara tidak langsung mengundang perhatian warganet yang mendakwa ia sebagai salah satu punca bekalan minyak masak semakin berkurangan dan sukar dimiliki penduduk tempatan.

Untuk rekod, pihak berkuasa sebelum ini memutuskan untuk membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak pek polybag satu kilogram sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.

Kebenaran penetapan had pembelian tersebut berkuat kuasa pada Januari 2021, bertujuan memastikan lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkan minyak masak diberikan subsidi kerajaan.

Manakala di pihak pemborong, mereka diwajibkan menjual kepada peruncit yang mempunyai lesen dan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS).

Minyak masak dalam bungkusan peket satu kilogram merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram