TINDAKAN pekerja di sebuah pasar raya borong yang didakwa menyembunyikan sebilangan minyak masak peket mendatangkan kemarahan orang ramai.
Lebih menyakitkan hati, beberapa orang pekerja dipercayai warga asing itu didakwa menyimpan stok minyak peket tersebut untuk diberikan kepada rakan senegaranya.
Kejadian itu dirakam oleh pengunjung di pasar raya tersebut dan dikongsikan di media sosial pada Rabu, sebelum ia menjadi tular.
"Warga asing simpan minyak untuk kawan-kawan dia sahaja.
"Warga Malaysia tidak ada minyak. Untuk warga asing saja ada minyak. Apa benda lah sorok minyak?" kata individu tersebut.
Berdasarkan video berdurasi 43 saat yang dimuat naik di laman X (Twitter) itu, kedengaran beberapa pengunjung turut berteriak dengan nada marah dipercayai gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pekerja warga asing tersebut.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya terkemuka di ibu kota, namun tarikh sebenar rakaman tersebut diambil masih belum dapat dipastikan.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau pihak pasar raya terbabit.
Untuk rekod, isu kekurangan minyak masak peket di pasaran masih sahaja menjadi keluhan rakyat Malaysia dan belum lagi menampakkan jalan penyelesaian sehingga kini.
Malah, baru-baru ini juga media tempatan melaporkan tentang peniaga dan pelanggan di sekitar Kuala Lumpur masih sukar untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan dan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram