DESAKAN terus diajukan ke arah pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan penyokong mengharapkan terdapatnya perubahan dapat dibuat.
Cadangan itu diberikan susulan kegagalan skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia dituruti persembahan mengecewakan dalam kempen Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23).
Jadi, dalam menyelesaikan isu tersebut, peminat setia bola sepak negara mahu rombakan dibuat dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi sasaran utama.
Bagi mereka, kepimpinannya sudah tidak lagi sesuai dengan arus semasa kerana individu lebih muda dan berpengaruh perlu berada di posisinya.
Namun, masih terdapat pelbagai pihak yang masih meletakkan kepercayaan penuh terhadapnya, termasuk tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim.
BACA LAGI: Kelebihan 2-1, Safuwan lebih layak galas tugas kapten Gergasi Merah berbanding Faisal Halim
Hamidin didesak untuk melepaskan jawatannya atas kegagalan skuad senior dan muda kebangsaan.
Menurutnya, Hamidin serta pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memikul tanggungjawab dengan baik sambil menegaskan ia adalah perkara biasa untuk desakan sedemikian dibuat melihat kepada prestasi tidak menentu ketika ini.
Kenyataan pemain berusia 26 tahun itu menerima respons pelbagai daripada penyokong dengan majoriti daripada mereka menepis pendirian ditegaskannya tersebut.
Berdasarkan komen di media sosial, orang ramai mahu Faisal lebih fokus dalam perlawanan berbanding memberikan pandangan akan isu pengurusan bola sepak negara.
"Kes pemain mengangkat presiden yang kurang berjaya. Pemain perlu main sahaja, jangan pandai berkata-kata atau berbunyi pula. Kerja menjaringkan gol itu adalah yang utama buat anda," kata Ahmad Mahaiyuddin.
BACA LAGI: Ada waktu kita dipuji melambung, ada waktu kita dihina — Faisal Halim
Faisal juga yakin akan sentuhan Pan-gon dalam skuad kebangsaan ketika ini.
"Lebih bagus diam daripada banyak bercakap. Lebih banyak bercakap akan lebih sumbang bunyinya," kata MJ Hamid.
"Sebaiknya pemain fokus di padang, jangan terlalu memberikan respons apa yang diminta media. Tengok pemain di Eropah, jarang nak bersuara di media," kata Forzza Milano.
Sebelum ini, Hamidin tampil menyatakan dia terbuka sekiranya terdapat mana-mana individu yang berminat untuk memikul peranan Presiden FAM.
Kenyataan tersebut dibuat sebagai pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu rombakan dibuat ke atas badan induk bola sepak negara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram