Rekod corot di bumi Qatar buat desakan FAM dirombak semakin kuat


  • Podium
  • Rabu, 24 Apr 2024

Penyokong pastinya kecewa apabila dihidangkan gaya permainan mengecewakan dalam perlawanan tersebut. — Facebook/FAM

KEKALAHAN 1-2 kepada Kuwait menutup kempen skuad Harimau Muda dalam saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) apabila mereka hanya berada di tangga tercorot Kumpulan D.

Keputusan tidak memberangsangkan yang dicatatkan pada awal pagi Rabu itu menyaksikan pasukan kendalian Juan Torres Garrido gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan.

Perasaan kecewa pasti dirasai rata-rata penyokong bola sepak tanah air yang berasakan skuad kali ini mempunyai masa depan cerah dalam pertandingan tersebut.

Manakan tidak, persiapan lebih awal serta lambakan pemain berkualiti meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Jadi, tidak hairanlah apabila rasa kecewa itu diluahkan mereka di laman media sosial dengan rata-rata daripada mereka mendesak agar perubahan dilakukan.

BACA LAGI: Aksi tanpa logo tidak langgar peraturan perlawanan — FAM

439010913_1136227070783861_3544019132832982398_n

Haqimi menjaringkan gol pada babak kedua permainan.Facebook/FAM

Bagaimanapun, kritikan tersebut diajukan kepada pihak pengurusan, terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju sukan berkenaan.

"FAM perlu dirombak, letakkan bekas pemain bola sebagai presiden dan dalam Jawatankuasa FAM dan bukan yang hanya pandai komen sahaja sedangkan tidak pernah bermain bola sepak," kata Panglima Alam Mohd Hanipiah.

"Okey, cukup sampai sini, pengurusan dan FAM yang rasa ada maruah, silakan letak jawatan. Pengurus, jurulatih serta pembantu jurulatih, kalau rasa ada maruah, tolong letak jawatan," kata Dengarkan fikirkan zikirkan dikirkan.

"Maruah negara tercalar dengan persembahan seperti ini. FAM perlu bertanggungjawab, bukan salah budak-budak ini, kena salahkan sistem FAM," kata Muhamad Fadzli Bin Saad.

Dalam perlawanan di Stadium Al-Janoub, Qatar, Harimau Muda terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel mengasari pemain lawan di luar kotak penalti.

BACA LAGI: Popular dalam kalangan Exco FA, kedudukan Hamidin sebagai Presiden FAM sukar dicabar termasuk KJ

439683306_1136227180783850_3311597505581805835_n

Garrido merupakan salah satu nama yang didesak untuk melepaskan jawatannya. Facebook/FAM

Nasib buruk terus menimpa apabila gawang skuad muda kebangsaan dibolosi menerusi sepakan penalti Salman al-Awadhi pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Pada minit ke-60 pula, giliran pemain sayap lawan, Talal Al-Qaisi menjaringkan gol, namun jurang berjaya dikecilkan selepas Haqimi Azim Rosli menggegarkan gawang Kuwait tiga minit kemudian.

Peluang untuk mengikat kedudukan terhidang selepas al-Awadhi dilayangkan kad merah memasuki baki-baki permainan.

Bagaimanapun, kebuntuan anak-anak buah Garrido menyaksikan kedudukan 1-2 kekal, sekali gus menyaksikan mereka pulang dengan tangan kosong, seperti mana dialami dalam kempen sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram