Pengaruh Kim Pan-gon, baka Samba antara 3 negara pemain import paling ramai musim depan


  • Podium
  • Rabu, 24 Apr 2024

Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu JDT dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.

KURANG sebulan lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.

Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.

Banyak pasukan sedang melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import baharu daripada pelbagai benua dengan ada di antara mereka baru pertama kali beraksi dalam Asia Tenggara.

Sehingga kini lebih 50 pemain import telah dibawa masuk pasukan-pasukan Liga M demi menguatkan kelab masing-masing bagi merebut kejuaraan Liga Super yang sedang disandang oleh JDT.

Namun anda pasti tertanya-tanya negara kelahiran pemain import manakah yang lebih banyak beraksi dalam Liga M bermula musim depan?

Dengan ini Majoriti menyenaraikan tiga buah negara pemain import terbanyak yang akan mewarnai kancah liga bola sepak Malaysia musim depan:

BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 19 gol dalam 28 perlawanan, Mika Junco pesaing baharu Bergson

Cleylton

Cleylton akan beraksi untuk Sang Kenari musim depan.

1. Brazil

Pemain kelahiran Brazil terus menjadi pilihan pasukan Liga M untuk memperkuatkan kelab masing-masing dan musim ini 10 pemain dari negara juara Piala Dunia itu akan mewarnai Liga Super.

Tidak terkejut jika pemain kelahiran Brazil menjadi pilihan banyak pihak kerana arena bola sepak tempatan mempunyai sejarah menaturalisasikan import dari negara samba itu.

Guilherme de Paula, Paulo Josue dan Endrick dos Santos menjadi pemain dari Brazil yang sudah mewakili Harimau Malaya manakala beberapa import seperti Rafael Vitor dikhabarkan akan mengikuti jejak langkah pemain berkenaan menyertai skuad kebangsaan.

Antara pemain baharu dari Brazil yang akan beraksi dalam Liga M musim depan ialah:

Rodrigo Dias (Penang FC)

Celio Santos (Kuching City FC)

Luiz Henrique Motta (Perak FC)

Cleylton (Kedah Darul Aman FC)

Murilo (JDT)

Lee Tae-min

Tae-min akan menggantikan Seo Seon-ung di Perak pada musim depan.

2. Korea Selatan

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemain kelahiran daripada Korea Selatan menunjukkan berminat untuk beraksi dalam Liga M selepas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mula menetap di negara ini.

Kemasukan ejen dan jurulatih dari Korea Selatan juga membawa pengaruh besar buat pemain-pemain muda dari negara itu untuk beraksi bersama kelab Liga M.

Sabah FC menjadi antara pasukan yang mempunyai pemain import Korea Selatan berkualiti tinggi sehingga mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk memakai lilitan kapten.

Sebanyak lapan pemain import Korea Selatan akan beraksi dalam Liga M musim depan dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) membawa masuk empat import dari negara itu.

Antara pemain baharu dari Korea Selatan yang akan beraksi dalam Liga M musim depan ialah:

An Sang-su (PDRM FC)

Kim Ri-gwan (KDN FC)

Jung Byung-ju (KDN FC)

Koo Ah-hoe (KDN FC)

Bae Kyung-hwan (KDN FC)

Lee Tae-min (Perak FC)

BACA LAGI: Dah lepak dengan Nidzam Jamil, Selangor mungkin terima khidmat import Korea Selatan

Aliyu

Pertahanan baharu Negeri Sembilan, Aliyu yang berasal dari Nigeria.

3. Nigeria

Zaman era 90-an mungkin banyak pasukan cenderung untuk merekrut pemain dari benua Afrika sebagai penyerang dan benteng pertahanan kerana ketangkasan serta saiz fizikal yang dimiliki oleh import negara tersebut.

Namun sejak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuka kuota asing yang lebih banyak berbanding dua atau tiga pemain, banyak pasukan lebih berminat membawa import posisi tengah dari benua Afrika.

Nigeria menjadi pilihan utama pasukan Liga Super apabila seramai tujuh pemain dari negara itu akan melakukan penampilan dalam Liga M musim depan.

Antara pemain baharu dari Nigeria yang akan beraksi dalam Liga M musim depan ialah:

Aliyu Abubakar (Negeri Sembilan)

Chidi Osuchukwu (PDRM FC)

Aremu Timothy (PDRM FC)

Faith Obilor (PDRM FC) — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram