Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, 3 pemain junior JDT, Kedah dan Sabah ada jelmaan senior


  • Podium
  • Rabu, 24 Apr 2024

Saddil (dua kiri) antara pemain Liga Super yang dilihat mempunyai pelapis di posisinya pada masa akan datang. — Facebook/Sabahfc

PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod bersih di bumi Sepanyol selepas mudah membelasah Club Costa City di Stadium Olimpik Camilo Cano, Alicante, Sepanyol pada Isnin.

Anak-anak buah Hector Bidoglio menunjukkan taring sebenar Harimau Selatan apabila mudah membelasah lawan dengan keputusan 7-0.

Dalam aksi tersebut, kesemua jaringan yang dihasilkan disumbang oleh pemain tempatan termasuklah beberapa ubi muda Akademi JDT seperti Gabriel Nistelrooy dan G. Pavithran.

Lebih manis lagi, Ramadhan Saifullah melakar sejarah dengan mencetak hatrik pada minit ke-6,65 dan 73, Nazmi Azmi dan Pavithran masing-masing menyumbang satu gol dan dua gol berjaya dicetak oleh Gabriel Nistelrooy.

Bagaimanapun, nama Pavithran mencuri tumpuan apabila dilabel sebagai bintang dalam pembikinan Harimau Selatan selepas dikaitkan mempunyai persamaan seperti legenda JDT, S.Kunanlan.

Sudah tentu kelebihan beraksi di bahagian tengah dan bek kanan yang dimiliki oleh pemain berusia 19 tahun itu akan ditagih oleh JDT.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga lagi pemain tempatan yang mempunyai persamaan dengan rakan pasukan masing-masing.

BACA LAGI: [VIDEO] Angle kamera VAR satu sudut saja, ramai tak setuju kad merah Brendan Gan

Feroz

Feroz merupakan pengganti jangka panjang bagi posisi pertahanan Harimau Selatan. — Facebook/KDAFC

1. Aidil Zafuan - Feroz Baharudin

Sebut sahaja nama Feroz Baharudin, pastinya semua penyokong mengenali pemain pertahanan Harimau Selatan itu.

Pemain pertahanan kental JDT itu sentiasa memberikan 100 peratus tenaga, fokus di atas padang dan pastinya setiap kali diturunkan dia tidak pernah mengecewakan penyokong.

Sebelum ini, namanya pernah dikaitkan dengan bekas pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada karier bola sepak.

Ramai penyokong beranggapan bahawa Feroz merupakan pengganti jangka panjang selepas Aidil kini menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Harimau Selatan.

Dalam pada itu, Feroz merupakan pemain junior yang dianggap sebagai jelmaan Aidil ketika ini.

Azhad

Bakat Azhad Harraz (kanan, depan) menjadikannya seorang prospek muda yang wajar digilap Sabah FC. — Facebook

2. Saddil - Azhad Harraz

Nama pemain muda Sabah FC, Azhad Harraz Arman pernah mencuri tumpuan penyokong selepas pengendali kelab berkenaan, Datuk Ong Kim Swee sanggup turun ke Semporna untuk menawarkan kontrak selama empat tahun kepadanya.

Meskipun kini beraksi bersama Sabah FC Bawah 23 Tahun (B-23) namun pemain berusia 21 tahun itu dijangka mampu menggantikan pemain sayap The Rhinos, Saddil Ramdani.

Ramai penyokong beranggapan bahawa gaya permainan yang ditampilkan oleh Azhad Harraz mempunyai persamaan dengan import Indonesia tersebut.

Walaupun beraksi di posisi yang berbeza namun Azhad Harraz membuktikan bahawa dia prospek muda yang wajar digilap oleh Sabah FC.

Dalam pada itu, boleh dikatakan bahawa Sabah FC sudahpun mempunyai pengganti Saddil di masa akan datang.

Kamal

Kamil Akmal antara pemain yang disebut bakal menggantikan Rizal Ghazali. — Facebook/KDAFC

BACA LAGI: Tiga bintang muda JDT, Selangor dan TFC malap di Qatar, kini siap sedia kemas beg jadi 'core player' kelab

3. Rizal Ghazali - Kamil Akmal

Pemain muda pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA), Kamil Akmal Abd Halim yang beraksi di posisi bek kanan kini berada di dalam prestasi terbaik apabila mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Rizal Ghazali sebelum ini.

Kemasukan pemain 25 tahun itu nyata berjaya memberi impak terbaik buat KDA apabila Kamil berjaya mematikan ancaman lawan di sebelah kanan dengan baik selain memberi nilai tambah di bahagian serangan dengan tampil yakin membawa bola ke bahagian atas.

Dalam pada itu, kematangan Kamil beraksi di posisi bek kanan mencuri tumpuan penyokong kerana dianggap boleh menggantikan Rizal dalam jangka yang panjang.

Bukan itu sahaja, Kamil Akmal turut mempunyai kelebihan apabila mampu membaca gerak geri lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram