Aksi tanpa logo tidak langgar peraturan perlawanan — FAM


  • Podium
  • Isnin, 22 Apr 2024

Melaka FA beraksi dengan jersi tanpa logo ketika aksi pembukaan Piala Presiden 2024 menentang Kelantan FA. — Facebook/MUSA

PERSOALAN diajukan kepada pengurusan Melaka FA baru-baru ini apabila pasukan itu bertanding memakai jersi tanpa logo dalam aksi Piala Presiden 2024.

Ketika perlawanan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Ahad, kelab berkenaan dijadualkan bertemu Kelantan FA dalam perlawanan pembukaan.

Aksi yang berakhir dengan keputusan 0-0 itu tampil dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerana pakaian rasmi skuad Hang Jebat tidak memaparkan logo seperti mana kebiasaan.

Situasi demikian membuatkan rata-rata penyokong Melaka FA mempersoalkan peraturan pertandingan di samping kegagalan kelab dalam menyediakan kelengkapan lengkap.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan isu sebegitu tidak melanggar undang-undang ditetapkan.

BACA LAGI: Hanya seri lawan 'adik', fans risau 'squad depth' TFC

803229

Firdaus menjelaskan keberadaan logo di jersi merupakan inisiatif untuk mempromosikan kelab. Facebook/FAM

BACA LAGI: Beraksi tanpa lencana di dada, fans bimbang bintang Melaka FA 'cabut lari'

"Dalam peraturan, kita tidak menyebut mengenai logo cap di baju. Tetapi, ia adalah inisiatif kepada persatuan atau kelab untuk mempromosikan diri masing-masing.

"Tetapi, ada beberapa daripada kelab yang masih belum lengkap kerana masih menunggu jersi pasukan atasan yang belum diumumkan," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, setiap kelab bertanding masih perlu memastikan logo penaja pakaian perlu tertera berdasarkan persetujuan dibuat dengan jenama tersendiri.

Berdasarkan situasi terkini, Melaka FA yang bersaing dalam Piala Presiden bukanlah tertakluk di bawah Melaka FC yang berentap dalam Liga A1 Semi Pro.

Namun, kegagalan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk menyediakan jersi berdasarkan standard pasti membuatkan peminat setia pasukan kecewa dengan sikap pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram