'Pengawal masih tak sedarkan diri, saya masih trauma' — Farah Cie


  • Massa
  • Isnin, 15 Apr 2024

Polis Selangor mengesahkan suspek, Hafizul (gambar kecil) memiliki dua rekod jenayah lampau selain dalam proses penceraian dengan isterinya gara-gara hubungan bermasalah sejak 2016.

USTAZAH Farah Cie mengakui masih trauma susulan daripada kejadian tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dekat Sepang, Selangor pada Ahad.

Menurut hantarannya di laman Facebook, Farah Cie atau nama sebenarnya Farah Md. Isa mengakui masih trauma.

"Mohon maaf, mesej bertalu tidak berbalas... Masih trauma kejadian di depan mata, sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri.

"Sama-sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala. Amin," katanya.

BACA LAGI: Insiden tembak KLIA: Peguam nasihat jangan keluarkan kenyataan — Farah Cie

BACA LAGI: Insiden tembak KLIA: Peguam nasihat jangan keluarkan kenyataan — Farah Cie

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 awal pagi Ahad.

Katanya, kejadian membabitkan seorang suspek lelaki yang dikenal pasti identitinya dan dipercayai sudah melarikan diri ke Utara.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan polis mendapati isteri suspek (Farah Cie) pernah membuat dua laporan polis terhadap suaminya pada 2016 dan 2023 dan dalam proses penceraian.

"Buat masa ini motif yang kita dapat pastikan adalah lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

"Mangsa pernah buat dua laporan polis sebelum ini berhubung ugutan jenayah iaitu pada 2016 dan yang terbaharu pada Disember tahun lalu dan hasil daripada laporan polis itu, suspek sudah pun ditahan polis," katanya.

Suspek, Hafizul Harawi, 38, ketika ini dipercayai melarikan diri ke utara tanah air dan diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya.

Mohd Shuhaily berkata, mana-mana pihak yang dapat mengesan suspek diminta segera melaporkan perkara itu kepada polis, namun dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram