[VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka


  • Tular
  • Rabu, 10 Apr 2024

Tangkap layar seorang penunggang motosikal (bulatan merah) merempuh kenderaan Black Maria di sebuah jalan raya pada Selasa.

SEORANG penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah trak polis (Black Maria) di Jalan Gangsa Kesang dekat Durian Tunggal Melaka pada Rabu.

Kejadian pada pukul 2.56 pagi Rabu berkenaan turut berjaya dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dikongsikan di aplikasi WhatsApp pada hari yang sama.

"Rider langgar Black Maria, tak tahu selamat atau tidak.

"Kejadian di Jasin, Melaka pada malam raya," kongsi individu berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

Melalui video yang dikongsikan, kenderaan polis itu dipercayai sedang membuat rondaan di kawasan tersebut sekali gus menyebabkan sekumpulan motosikal cuba melarikan diri.

Ketika trak polis tersebut cuba memasuki sebuah simpang, sebuah motosikal yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak dan terus merempuh kenderaan itu.

Impak dari rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting ke tepi jalan.

Turut kedengaran suara rakan perakam yang terkejut melihat insiden berkenaan.

"Allahuakbar," katanya.

Melalui satu video yang dikongsikan memaparkan orang ramai berada di tempat kejadian dan bersemuka dengan anggota polis yang didakwa memandu kenderaan tersebut.

Kedengaran beberapa orang awam meninggikan suara terhadap anggota berkenaan manakala mangsa dilihat terbaring kaku di tepi jalan terbabit.

"Kau masuk simpang, langgar anak orang," jerit seorang lelaki.

Sementara itu, polis mengesahkan remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, Mohammad Khairul Basahri disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman pada pukul 12.37 tengah malam Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram