[VIDEO] Lelaki mengamuk anak dan isteri cedera sampai berdarah tercampak dari ‘sotong ride’ di Taiping


  • Tular
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Tangkap layar seorang lelaki mengamuk selepas anak dan isterinya didakwa terjatuh sehingga cedera ketika main 'sotong ride' di sebuah pesta mainan di Taiping pada Khamis.

SEORANG wanita dan kanak-kanak lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh daripada salah satu permainan pesta mainan dalam kejadian di Simpang dekat Taiping, Perak pada Khamis.

Kedua-dua mangsa didakwa terjatuh daripada permainan dikenali sebagai ‘sotong ride’ ketika ia sedang berpusing.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan pengguna warga maya, Iman Hafizah, kerusi permainan itu patah sebelum terjatuh kerana dikatakan tidak dapat menampung berat mangsa dan ibunya.

"Budak tercampak, kerusi patah," tulisnya.

Susulan daripada kejadian itu, seorang lelaki berbaju merah dipercayai bapa mangsa dilihat mengamuk dan memarahi salah seorang pekerja pesta mainan berkenaan.

Malah, dia juga dilihat bertindak mengasari pekerja tersebut dengan melepaskan beberapa tumbukan pada pekerja tersebut.

Kejadian itu turut menimbulkan kekecohan dan orang awam yang berada di tempat kejadian mengerumuni kawasan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis

Sementara itu, seorang lagi warga maya Endrendrum Punnagaiyudan Sargu tampil menjelaskan isu tersebut.

"Lelaki berbaju merah tersebut adalah sepupu saya. Semalam (Khamis) dia membawa isteri dan anaknya ke pesta mainan berkenaan.

" Mereka tidak menyedari salah satu daripada kerusi ‘sotong ride’ itu patah dan terus duduk.

"Selepas beberapa minit main permainan tersebut, kerusi itu tiba-tiba patah sekali gus menyebabkan anak dia yang berusia lebih setahun serta isterinya terjatuh sehingga cedera.

"Anak sepupu saya cedera dan berdarah di bibir dan isterinya juga mengalami pendarahan di kepala, " katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki

WhatsApp Image 2024-04-12 at 16.19.14

Seorang warga maya tampil menjelaskan isu tersebut yang melibatkan sepupunya. — Facebook

Tambahnya lagi, sepupunya bertindak mengasari pekerja pesta mainan itu kerana terlalu marah.

"Pihak pesta mainan sepatutnya memeriksa terlebih dahulu semua permainan mereka tetapi gagal.

"Jangan salahkan satu pihak, kalau anda sebagai ayah apa yang akan anda lakukan?" katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, polis sedang mengesan individu terlibat dalam kejadian di pesta mainan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, berdasarkan rakaman berdurasi 1 minit 2 saat itu, berlaku salah faham antara seorang lelaki dengan pekerja di premis tersebut.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas isteri dan anak lelaki itu terjatuh dari salah sebuah permainan di pesta mainan berkenaan.

"Tiada laporan dibuat oleh mangsa atau pihak terlibat setakat ini.

“Susulan kejadian itu, polis telah meminta seorang pengguna Facebook bernama Kelvin Lim dan saksi untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan berikutan berlakunya perlakuan jenayah seperti mana ditunjukkan dalam video itu.

"Polis akan mengambil langkah proaktif terhadap setiap perlakuan jenayah yang menimbulkan kegusaran bagi memastikan daerah ini selamat," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram