Tarif air naik 22 sen semeter bermula 1 Februari


  • Primer
  • Rabu, 17 Jan 2024

Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari ini. — Gambar hiasan

PELARASAN tarif air baharu akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

"Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

BACA LAGI: Masalah air di UMS masih belum selesai, LRA Telibong 2 Fasa 2 antara jawapan atasi krisis berpanjangan

"Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, SPAN berkata, melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

"Ia membabitkan membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna," katanya.

Pelarasan tarif air domestik ini membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

"Bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram