PEGAWAI polis wanita yang menembak mati lelaki terlibat dalam kejadian tikaman rambang di salah sebuah pusat beli-belah tersibuk di bandar Sydney, Australia pada Sabtu dikenal pasti sebagai Inspektor Amy Scott.
Polis New South Wales (NSW) menolak kemungkinan serangan itu dibuat berdasarkan motif tertentu, malah suspek, Joel Cauchi juga didapati bukan seorang pengganas.
"Lelaki tersebut didakwa menerajang pegawai berkenaan sebelum dia ditembak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Majoriti pada Sabtu melaporkan seramai enam individu terbunuh dalam kejadian tikaman rambang oleh seorang lelaki di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction di Sydney.
Amy yang tiba di pusat membeli belah itu setelah menerima panggilan kecemasan bertindak menembak mati lelaki tersebut sebelum memberi bantuan pernafasan (CPR) untuk menyelamatkannya tetapi gagal.
Sementara itu, Menteri Polis NSW, Yasmin Catley dilaporkan sempat bertemu dan meluahkan penghargaan atas keberaniannya.
"Apabila saya bertemu Amy malam tadi, kami bercakap tentang (bagaimana) dia terus bertukar ke mod polis (dan mempraktikkan) semua yang diajar semasa bertugas.
"Apabila saya mengucapkan terima kasih atas keberaniannya, dia berkata 'bukan saya sahaja, orang ramai di sekeliling saya sangat membantu'.
"(Dia) sangat merendah diri, dia hanya tipikal seorang pegawai polis NSW," katanya.
Salah seorang saksi kejadian, Jason Dickson berkata, dia sendiri menulis surat kepada ketua polis NSW dan memuji tindakan pegawai wanita berkenaan yang berjaya melindungi lebih ramai orang awam daripada terbunuh.
"Jika pegawai tersebut tidak melakukannya, mungkin lelaki itu akan berterusan (mencederakan orang). Dia (Amy) melakukan kerja yang sangat hebat dan saya bangga dengannya," ujar Jason. — Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram