Hampar toto belakang MPV untuk anak 'selesa', masih ada ibu bapa tak faham isu keselamatan


  • Massa
  • Isnin, 15 Apr 2024

Tangkap layar foto memaparkan seorang pemilik MPV menjadikan bahagian penumpang belakang kenderaanya untuk menjadi tempat baring untuk anak-anaknya ketika melakukan perjalanan.

SETIAP kali tibanya musim perayaan, adalah menjadi kebiasaan untuk kebanyakan keluarga di Malaysia pulang beraya di kampung halaman.

Aktiviti tersebut juga lazimnya memerlukan mereka menempuh perjalanan agak jauh dan mengambil masa lama akibat kesesakan jalan raya.

Bagi keluarga memiliki anak masih kecil, situasi itu bukanlah satu yang mudah untuk diharungi.

Ini kerana, bagi kanak-kanak, duduk di satu tempat untuk satu waktu yang lama pastinya menimbulkan ketidakselesaan.

Disebabkan itu, pelbagai ikhtiar dilakukan ibu bapa bagi menangani keadaan dihadapi tersebut.

Malah ada antara mereka turut membentangkan tilam atau toto di bahagian penumpang belakang bagi memastikan keselesaan anak-anak.

Perbuatan itu turut tular selepas ia dikongsikan oleh seorang pemerhati automotif tempatan, Hezeri Samsuri di laman X pada Isnin.

Menerusi foto dikongsikan itu, seorang pengguna Facebook yang juga pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) dilihat menggunakan bahagian penumpang belakang kereta tersebut untuk membolehkan beberapa orang anaknya baring.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Tindakan itu ternyata menimbulkan kritikan daripada Hezeri yang menyifatkan perbuatan tersebut membahayakan keselamatan penumpang.

"Beli MPV sebab boleh hampar toto bed kat belakang agar anak selesa. Masih jauh lagi pendidikan keselamatan jalan raya kita. Kena naikkan balik isu saman ni.

"Kalau akak nak tau, mak abah boleh kena saman dan masuk penjara jika kematian anak disebabkan kelalaian kita ni. Lain kali kak, jangan tengok Instagram pasal tudung resipi baju kurung sahaja.

"Lori tayar meletup dia masih boleh masuk laluan akak walaupun akak akak bawa hanya pada kelajuan 60 km/j (kilometer setiap jam) sahaja," tulisnya menerusi ciapan tersebut.

Pandangan serupa turut dikongsikan oleh beberapa pengguna media sosial lain berhubung perbuatan tersebut.

"Bila ibu bapa cuma fikirkan keselesaan anak nak tidur baring dalam kereta berbanding keselamatan yang patut diutamakan. Ada kawan sendiri buat macam ini, bila kita nasihat, dibahasanya kita balik," tulis AbamKamal.

"Ramai masih tak faham keselamatan jalan raya. Hidup sampai anak beberapa orang pun degil tak ikut undang-undang jalan raya," ujar LimSengKim1.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, (UPM), Profesor Dr Law Teik Hua sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan menggunakan tilam di bahagian tempat belakang itu sememangnya menyalahi undang-undang.

Katanya, ini kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan pemakaian tali pinggang keledar termasuk Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan itu juga boleh menyebabkan penumpang tercampak keluar daripada kenderaan sekiranya mereka berdepan sebarang kemalangan.

Lebih menakutkan, menurut Teik Hua, risiko kecederaan kepada kanak-kanak juga lebih tinggi sekiranya mereka terlibat dalam kecelakaan jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram