Penat tempuh jem pulang beraya, geng motor pilih konvoi kelik Kelate sejak 5 tahun lepas


  • Massa
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Menunggang motosikal beramai-ramai atau berkonvoi lebih menjadi pilihan segelintir anak muda untuk pulang beraya. — Gambar hiasan

WALAUPUN dengan pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan, ternyata menunggang motosikal beramai-ramai atau berkonvoi lebih menjadi pilihan segelintir anak muda untuk pulang beraya.

Berkongsi pengalaman berkonvoi bersama rakan-rakan, pekerja swasta, Munir Abd Kadir, 30, berkata, selain menjimatkan wang, aktiviti itu juga dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terlalu lama.

Menurut anak jati Tanah Merah, Kelantan yang kini menetap di Lembah Klang itu lagi, sebelum ini dia pernah memandu kereta pulang beraya, namun mengakui tidak sanggup menghadap jalan sesak ekoran pertambahan kenderaan di atas jalan.

Saat dipelawa rakan sekerjanya untuk pulang secara konvoi lima tahun lalu, dia pada awalnya mengakui teragak-agak untuk menyertainya kerana tahu risiko kemalangan adalah lebih besar jika menunggang motor.

"Namun saya beranikan diri untuk mencuba dan lama-lama Alhamdulillah baik sahaja. Saya pun sebenarnya dah penat juga kena tempuh jem jika naik kereta.

"Lagipun kita akan berhenti di beberapa perhentian untuk berehat jika penat, jadi tidak ada masalah.

"Sebenarnya saya sendiri pernah beberapa tahun cuba beli tiket untuk naik pengangkutan awam, tapi selalu habis cepat, jadi nak senang kita bawa motor sendiri," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tobacco taiko tunjuk samseng', KKM diminta konsisten kuat kuasa larangan merokok

WhatsApp Image 2024-04-11 at 19.38.49

Berkonvoi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakan sekampung.

BACA LAGI: Ketahui jalan alternatif, waktu sesuai elak sesak pulang beraya dengan selamat dan lancar

Munir berkata, biasanya mereka akan berkonvoi seramai 18 hingga 20 motosikal untuk satu-satu masa.

Tambahnya, banyak kelebihan menaiki motosikal berbanding menggunakan kereta untuk pulang ke kampung halaman.

"Ia termasuk mengelak kesesakan lalu lintas yang cenderung berlaku menjelang perayaan hari raya.

"Pada masa itulah anak perantau akan mengambil kesempatan untuk pulang meraikan lebaran bersama keluarga tersayang," luahnya yang terpaksa menunggang lebih 300 kilometer untuk pulang ke kampung halamannya.

Berkongsi kisah sama, Mohd Taha Mazlan memberitahu, dia mula menyertai konvoi pulang beraya bersama rakan-rakan senegerinya sejak tiga tahun lalu.

Akuinya, pengalaman menunggang motosikal beramai-ramai dikatakan lebih 'meriah' dan mereka masing-masing lebih bersemangat untuk menyambut perayaan.

"Selain itu, kaedah ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kami anak-anak Pantai Timur.

"Lagipun perjalanan balik kampung lebih cepat berbanding menaiki kenderaan lain. Untuk saya, kalau jem pun biasanya di Gombak dan Gua Musang sahaja," jelas penunggang e-hailing berusia 22 tahun itu.

WhatsApp Image 2024-04-11 at 19.45.11

Dari kiri: Ahmad Fitri, Mohd Taha

BACA LAGI: Pemandu panas punggung, hadap jem 8 hingga 12 jam andai balik beraya Ahad

Sementara itu, pekerja di sebuah kilang pengeluar kenderaan antarabangsa, Ahmad Fitri Manan, 22, berkata, tahun ini adalah tahun pertama dia menyertai aktiviti konvoi sempena perayaan.

Meskipun teruja, dia memastikan motosikalnya diselenggara sebelum memulakan perjalanan sebagai langkah keselamatan.

"Biasanya sebelum mulakan perjalanan jauh, antara perkara penting yang saya titikberatkan ialah tukar minyak hitam dan pastikan brek serta tayar berfungsi dengan baik.

"Kami juga sentiasa membawa bersama peralatan membaiki motosikal seperti sepana dan tiub tayar sekiranya ada antara motor rakan yang pancit dan sebagainya," katanya yang menyambut lebaran di Kuala Lipis, Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram